Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Daerah Brunei dan Muara bakal menjadi daerah ketiga bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 bagi tahun 2024.
Sementara itu, untuk memastikan acara berjalan dengan lancar, raptai penuh bagi majlis berkenaan telah diadakan hari ini di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.
Hadir bagi menyaksikan raptai penuh itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78 bagi tahun 2024.
Menteri-menteri kabinet yang membuat tinjauan persediaan persembahan khas seterusnya meninjau lokasi sebelum acara kemuncak yang akan diadakan pada 29 Julai ini.
Turut hadir, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara, dan ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-78 bagi Daerah Brunei dan Muara.
Bertemakan Raja untuk Rakyat dan Rakyat untuk Raja, persembahan khas tahun ini menampilkan konsep Raja Khalifah Teraju Negara yang melibatkan lebih 200 peserta terdiri daripada gabungan belia-belia Negara Brunei Darussalam serta penuntut dari sekolah menengah atas dan sekolah rendah.