Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun 1439 Hijrah akan diadakan pada 1 Jun di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sehubungan itu, bagi memastikan kelancaran sambutan yang juga akan diisikan dengan pemakluman keputusan dan penganugerahan hadiah-hadiah bagi Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1439 Hijrah, latihan raptai telah diadakan, hari ini.
Hadir bagi menyaksikan latihan raptai berkenaan, Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz. Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-Hari Kebesaran Islam Tahun 1439 Hijrah.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof; Setiausaha Tetap (Prestasi) di Kementerian Kewangan, Dayang Norliah binti Kula; Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang; serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.
Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara tahun ini dikendalikan bersama oleh KHEU dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Kementerian Kewangan, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM), Brunei LNG dan Brunei Gas Carriers (BGC).
Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Al-Quran Sumber Kepimpinan Adil’.