Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Bagi memastikan kelancaran Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah yang akan diadakan pada hari Isnin, 27 Rejab 1446 Hijrah bersamaan 27 Januari 2025 Masihi di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, satu raptai penuh telah diadakan di sana, pagi tadi.
Hadir bagi memastikan latihan berjalan dengan lancar dan sempurna ialah Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd selaku pengendali bersama, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dan Menteri Pembangunan selaku pengendali bersama, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Tema Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi Tahun 1446 Hijrah ialah Sembahyang Mencerdaskan Minda. Majlis tersebut akan diisikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan tadabbur serta ceramah khas.
Majlis tersebut dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan dan Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd.
Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1446 Hijrah.