LOS ANGELES, 30 Nov – Pasukan Toronto Raptors berjaya mengenepikan catatan 50 mata Pemain Golden State Warriors, Kevin Durant dengan menewaskan juara bertahan dua kali itu 131-128 pada masa tambahan awal pagi tadi dalam perlawanan yang digambarkan sebagai kemungkinan previu Final NBA.
Kawhi Leonard mencatatkan 37 mata dan Pascal Siakam menambah 26 mata bagi pasukan Raptors, yang mencatatkan tujuh kemenangan berturut-turut untuk memperbaiki rekod pendahuluan kepada 19-4 di depan penonton tuan rumah.
“Ia meningkatkan semangat bagi kami,” kata Leonard.
“Kami mampu untuk melakukan jaringan, kami mampu untuk menghasilkan beberapa halangan pada masa tambahan.
“Saya gembira kami mendapatkan kemenangan.”

Warriors, yang beraksi tanpa dua bintang utama Stephen Curry dan Draymond Green akibat kecederaan, terjejas kepada 15-8 ketika melalui kekalahan kali kelima berturut-turut.
Dalam perlawanan lain bagi Western Conference, LeBron James dan Los Angeles Lakers kembali bangkit dari kekalahan terbesar mereka musim ini, tewas 117-85 kepada pasukan Denver Nuggets, dengan kemenangan 104-96 ke atas Indiana Pacers.
Selepas menghasilkan pendahuluan 23 mata pada suku pertama, Lakers menyaksikan Pacers kembali memberikan persaingan untuk mendahului pada suku ketiga.
Tetapi James bekerja keras, menjaringkan 12 dari 38 mata pada lima minit terakhir.
“Inilah sebabnya mengapa saya berada di sini,” kata James, juara tiga kali NBA yang menyertai pasukan Lakers sebagai ejen bebas musim ini.
James mencatatkan sembilan rebound dan tujuh asis ketika dia bangkit dari 14 mata paling rendah musim ini dalam kekalahan di Denver.
“LeBron beraksi dengan menarik, tetapi kami juga mendapatkan banyak permainan yang menarik dari pemain yang berbeza,” kata jurulatih Lakers, Luke Walton. “Ia apa yang perlu dilakukan untuk memenangi liga ini.”
Brandon Ingram menjaringkan 14 mata dan Josh Hart menjaringkan 13 bagi pasukan Lakers, yang mencatatkan kemenangan kesepuluh dalam 14 perlawanan. – AFP