LOS ANGELES, 31 Okt – Kawhi Leonard menjaringkan 31 mata ketika Toronto Raptors bangkit dari kekalahan pertama mereka musim ini untuk menewaskan Philadelphia 76ers dalam persaingan sengit Persidangan Timur awal pagi tadi.
Leonard yang direhatkan ketika kekalahan Toronto menentang Milwaukee Bucks pada Isnin lalu, juga mencatatkan tujuh rebound dan empat assist selepas Raptors mengekang kebangkitan lewat daripada Sixers untuk melengkapkan kemenangan 129-112.
Kemenangan tersebut menyaksikan Toronto memperbaiki kedudukan 7-1 sementara Sixers terikat 4-4 selepas satu lagi permainan tidak seimbang daripada anak buah Breet Brown.
Jonas Valanciunas menjaringkan 23 mata sementara Kyle Lowry menambah 20 bagi Pa-sukan Raptors, yang mencatatkan pendahuluan selesa 35-26 pada suku pertama untuk mengawal permainan.
“Kebangkitan yang bagus, kemenangan yang bagus,” kata Lowry selepas itu.
“Ia adalah kemenangan yang bagus. Kami begitu aktif pada malam ini, kami berada di semua tempat. Ia adalah permainan defensif yang tidak sempurna namun pemain kami beraksi dengan baik di bahagian pertahanan.”
Toronto mendahului 67-53 pada separuh masa dan dilihat menuju kemenangan sehingga kebangkitan semula dari Sixers lewat suku keempat.
Jaringan tiga mata dari Joel Embiid memastikan Sixers kembali pada kedudukan 117-111 dengan perlawanan berbaki 3 minit 30 saat pada suku keempat sebelum Toronto meneruskan persaingan 12-0 untuk memenangi perlawanan. – AFP
