‘Rapunzel’ India kekalkan rekod

AHMEDABAD, INDIA, 20 JAN – Seorang gadis India berusia 17 tahun telah mempertahankan ‘mahkotanya’ sebagai remaja dengan rambut terpanjang di dunia lebih daripada sedekad selepas dia berhenti mendapatkan potongan rambutnya setelah mengalami pengalaman buruk di salon.

Nilanshi Patel, dari sebuah pekan kecil Modasa di negeri Gujarat, memperbaiki lagi rekod rambutnya dalam Guinness World Records dengan 170.5 sentimeter (5.59 kaki) pada Disember 2018 kepada 190 sentimeter kini.

Bapanya yang bangga dengan kejayaan itu berkata anaknya kini menjadi seorang selebriti antarabangsa yang dulunya hanya seorang selebriti tempatan.

Digelar ‘Rapunzel’ oleh rakan-rakan dan rakan sekolahnya, Patel berkata dia tidak pernah mengunjungi mana-mana penghias rambut selama 11 tahun selepas mengalami kesukaran menjaga rambutnya.

“Pada usia enam tahun, saya mengalami pengalaman yang sangat buruk di salon tempatan,” katanya kepada AFP.

Nilanshi Patel, 17, mempertahankan ‘mahkotanya’ sebagai remaja dengan rambut terpanjang di dunia lebih daripada sedekad. – AFP

“Sejak itu saya bimbang untuk memotong rambut saya. Ibu bapa saya menerima hasrat saya dan kini ia menjadikan saya seperti hari ini.”

Patel terpaksa memakai kasut bertumit tinggi jika dia tidak mahu rambutnya menyentuh tanah.

Selain itu, Patel berkata bahawa dia merawat rambutnya seperti setiap remaja lainnya – tetapi dengan bantuan ibunya.

“Saya melakukan apa yang dilakukan oleh setiap remaja. Basuh rambut setiap minggu dan memberi minyak sekali atau dua kali seminggu,” tambahnya.

“Pada kebiasaannya saya akan mengikat rambut saya, tetapi semasa bermain ataupun dalam acara tertentu, saya akan menggulung rambut mengikut kesesuaian. Kesukaran yang saya hadapi adalah semasa saya berenang.” – AFP