Kira-kira 17 tahun lalu, saya berkahwin dengan suami saya, namun kami belum lagi dikurniakan rezeki anak sehingga sekarang, jadi kami mengambil keputusan untuk mengambil anak angkat.
Dulu tujuan saya mengambilnya sebagai anak angkat sebab mahu beri kasih sayang dan kehidupan yang lebih baik untuknya. Di samping itu, saya juga ingin menumpang kasih dan mahu merasa panggilan ‘ibu’.
Saya telah berikan segala-galanya kepada dia dan saya anggapnya se-perti anak kandung saya sendiri, tapi sejak kebelakangan ini, dia selalu bertanya tentang ibu bapa kandungnya.
Soalan-soalan itu buat saya rasa takut dan bimbang. Kadang-kadang saya tidak tahu macam mana hendak menjawab supaya dia faham tanpa rasa kecewa atau sedih.
Saya risau kalau saya jawab salah, dia akan rasa semakin jauh dan tidak percaya pada saya.

Kadangkala saya rasa bersalah sebab tidak dapat beri kepastian tentang keluarga kandungnya. Saya juga takut kalau rasa rindu dia pada ibu bapanya itu buat dia rasa tidak tenang dan mula mencari mereka sendiri, dan saya hilang tempat dalam hidupnya. Tapi saya faham dia sudah dewasa dan mampu berfikir matang tentang perkara ini.
Saya betul-betul perlukan nasihat. Macam mana saya hendak uruskan bila dia bertanya soalan-soalan sensitif macam itu? Bagaimana saya boleh bantu dia terima keadaan tanpa buat dia rasa kosong atau kehilangan? Saya mahu terus menjadi ibu yang terbaik untuknya, tapi perasaan takut dan tak pasti ini sering menghantui saya.
Saya harap ada yang sudi berkongsi pengalaman atau memberi panduan supaya saya boleh hadapi situasi ini dengan lebih tenang dan bijaksana. Saya benar-benar perlukan sokongan dan nasihat.
Fasha
NASIHAT DANG MP
Terima kasih Puan Fasha kerana berkongsi kisah dengan pembaca Media Permata.
Perasaan bersalah dan ketakutan yang puan alami adalah sangat wajar dan difahami, apatah lagi apabila kasih sayang yang dicurahkan selama ini begitu mendalam dan ikhlas.
Sebagai ibu angkat, puan telah melakukan satu pengorbanan besar bukan sekadar memberi tempat berteduh, tetapi juga kasih sayang dan peluang untuk anak itu membesar dalam kasih sayang yang sempurna. Ia adalah satu sifat keibuan yang sangat mulia, walaupun bukan melalui ikatan darah yang sebenar.
Apabila anak angkat mula bertanya tentang asal usulnya, ia bukan bermakna dia tidak menghargai atau menyayangi puan. Mungkin ia adalah satu proses semula jadi dalam pencarian identiti dirinya.
Sebagai remaja atau dewasa muda, dia mungkin ingin memahami siapa dirinya sepenuhnya, termasuklah asal usul atau keturunannya.
Jadi, apa yang penting sekarang ialah kejujuran dan kepercayaan. Puan tidak perlu tahu semua jawapan, tetapi boleh mulakan dengan pengakuan jujur dan empati: “Ibu faham kamu ingin tahu.
“Ibu pun ingin bantu kamu sedaya upaya.” Berikan dia ruang untuk bertanya dan berkongsi perasaannya tanpa rasa dihakimi.
Puan juga boleh mendapatkan sesi kaunseling keluarga atau sokongan kaunselor remaja bagi membantu komunikasi dua hala yang lebih terbuka dan tenang. Jangan takut untuk berkongsi perasaan Puan juga kerana ini akan mengeratkan lagi hubungan antara kalian.
Yang penting, teruskan menjadi ibu yang sentiasa hadir dalam hidupnya, menyokong dan mencintainya. Kasih yang tulus tidak akan hilang begitu saja. Sudah pasti dia boleh menghargai akan setiap jasa Puan yang menjaga dan membesarkannya biarpun bukan ibu kandungnya.