Ramai mengetahui pelakon Nabila Huda cukup gemar memasak pelbagai juadah buat suami dan anak tersayang malah sering berkongsi video masakan di media sosial miliknya.
Bagaimanapun Nabila atau Nabila Huda Suhaimi, 39, berasa sedih apabila sudah seminggu tidak dapat memasak buat keluarganya.
Memetik dari mStar, ia kerana kata Nabila, jadualnya yang padat disebabkan sudah mula bekerja membuatkan beliau tidak mempunyai masa masuk ke dapur.
“Saya sedih tak dapat langsung nak masak untuk suami dan anak sebab sudah mula bekerja.
“Hampir seminggu saya sudah tak masuk ke dapur,” katanya.
Nabila meluahkan perkara itu menerusi hantaran di aplikasi X miliknya.
Disebabkan itu, Nabila berkata, hatinya hancur dan menganggap gagal menjadi seorang wanita.
“Hancur berderai hati ini. Rasa gagal jadi perempuan… Done luahkan perasaan,” tulisnya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat berkata Nabila bukanlah seorang yang gagal sebagai ibu dan isteri.
Sebaliknya, mereka menyifatkan Nabila beruntung kerana mendapat suami dan anak yang memahami kariernya sebagai pelakon.
“Awak bukan gagal, cuma berehat daripada memasak sahaja. Nanti boleh masak sedap-sedap lagi.
“Tidaklah! Awak bertuah dapat suami dan anak yang memahami. Awak hanya perlu jadi yang terbaik dalam diri sahaja,” komen peminat.
Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga bersama Mohd Izwan Johar pada 25 Disember 2015.
Sebelum itu, Nabila pernah berkahwin dengan Zaidi Zailani namun mereka bercerai pada 2011 iaitu selepas tiga tahun bersama.
Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan anak perempuan iaitu Keisha Laila yang kini berusia 14 tahun. – Agensi