Wednesday, January 1, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasa sedih, terkejut selubungi tapak nahas Jeju Air

    MUAN, KOREA SELATAN, 29 DIS – Bau minyak petrol menyelubungi Lapangan Terbang Antarabangsa Muan.

    Di belakang kawat polis, tempat duduk pesawat, beg pakaian dan serpihan logam bertabur di sana-sini, berdekatan badan pesawat Jeju Air 2216 yang remuk.

    Pesawat Boeing 737-800 membawa 181 orang, berlepas dari Bangkok ke Korea Selatan terhempas ketika cuba melakukan pendaratan kecemasan hari ini, terbabas ke tembok dan meletup terbakar, mengorbankan semua kecuali dua orang.

    Bomba dan penyelamat membawa mangsa nahas Jeju Air Boeing 737-800. – AFP
    Ahli keluarga mangsa nahas pesawat. – AFP

    Ratusan pekerja kecemasan memadamkan api dan memeriksa lokasi nahas, tetapi hanya dua orang, kedua-duanya kru penerbangan, diselamatkan hidup, manakala 177 yang lain disahkan maut.

    Pada lewat petang, cahaya lampu sorot menerangi bangkai pesawat remuk ketika sebuah kren kuning besar mengangkat badan pesawat, membolehkan pegawai meneruskan misi pencarian dan penyelamatan.

    Di belakang pita kawat polis yang merentangi pagar dawai di tepi landasan, tempat duduk pesawat dan serpihan logam lain kelihatan, memberi gambaran tentang impak bencana daripada nahas tersebut.

    Di dalam terminal lapangan terbang, ahli keluarga berkumpul untuk menunggu berita, ramai yang kelihatan terkejut dan menangis.

    Seorang wanita dibawa keluar menggunakan pengusung, kelihatannya pengsan akibat berita mengejutkan tersebut.

    Ahli keluarga mangsa. – AFP
    Askar-askar Korea Selatan ketika mencari penumpang hilang. – AFP
    Ahli keluarga mangsa korban. – AP

    Papan maklumat yang biasanya digunakan untuk maklumat ketibaan dan pelepasan kini memaparkan nama, tarikh lahir, dan kerakyatan mangsa.

    “Anak lelaki saya di dalam pesawat itu .. Dia masih belum dikenal pasti,” kata seorang lelaki tua yang menunggu di ruang istirahat lapangan terbang, yang enggan namanya disiarkan, kepada AFP.

    Jeritan dan tangisan kedengaran bergema di lapangan terbang dua tingkat itu, ketika nama dan identiti mangsa disahkan.

    Kebanyakan penumpang, yang kesemuanya warga Korea kecuali dua orang warganegara Thailand, sedang dalam perjalanan pulang selepas percutian musim sejuk mereka.

    “Adik perempuan saya sudah tidak ada lagi hari ini,” kata seorang wanita berusia 65 tahun yang hanya dikenali sebagai Jo kepada AFP.

    Adiknya melancong ke Bangkok bersama rakan-rakannya, kata wanita itu, yang memakai topi rajut kelabu dan pelitup muka.

    “Suami saya kini sedang cuba mengesahkan sama ada dia sudah dikenal pasti,” tambah Jo.

    Kren ketika mengalihkan sebahagian pesawat nahas. – AP
    Seorang mangsa yang terselamat dibawa ke hospital. – AP
    Gambar AP.

    Pesawat itu membawa 175 penumpang, termasuk dua warga Thailand, dan enam kru di dalam pesawat.

    Menurut pihak berkuasa, penumpang termuda adalah seorang budak lelaki berusia tiga tahun dan yang tertua adalah seorang wanita berusia 78 tahun.

    Lima daripada yang terkorban adalah kanak-kanak di bawah usia 10 tahun, kata pihak berkuasa, berdasarkan manifesto penumpang.

     

    Satu-satunya bunyi di sekitar tapak nahas adalah bunyi kamera dan bisikan wartawan yang sedang menyiarkan berita secara langsung, ketika ratusan saudara-mara, yang kehilangan kata-kata, menunggu berita tentang orang tersayang mereka yang berada dalam pesawat yang terbakar itu.

    Di kawasan sekitar landasan, wartawan AFP dapat melihat buku bebas cukai dan sarung tangan sanitasi yang dipakai oleh kru penerbangan berselerakan di padang, tidak jauh dari ekor pesawat yang hangus.

    Ini kemalangan udara paling maut di tanah Korea Selatan dan yang terburuk dalam beberapa tahun melibatkan syarikat penerbangan negara itu.

    Semua penyiar utama Korea Selatan menukar jadual mereka kepada siaran berita kecemasan dengan lokasi-lokasi sukan termasuk permainan bola tampar dan bola keranjang turut bertafakur sejenak.

    Manakala acara hiburan akhir tahun dan rancangan komedi dibatalkan.

    Nahas itu berlaku ketika Korea Selatan sedang melalui kekacauan politik, selepas presiden yang digantung, Yoon Suk Yeol, telah didakwa awal bulan ini atas cubaan gagal mengisytiharkan undang-undang tentera.

    Cerita-cerita menyayat hati tentang ahli keluarga juga dikongsi dalam talian, dengan seorang lelaki berkata ibu dan lima ibu saudaranya berada di pesawat itu.

    “Saya diberitahu mereka akan tiba sekitar jam 8:50 pagi hari ini, jadi saya datang ke lapangan terbang untuk menjemput ibu dan emak saudara saya, tetapi saya belum mendengar apa-apa berita daripada mereka,” katanya dengan cemas kepada media tempatan.

    Landasan di lapangan terbang Muan akan ditutup sehingga lewat minggu ini, kata pihak berkuasa, ketika penyiasat menyiasat punca nahas tersebut.

    Satu tangkapan skrin yang menyayat hati daripada pertukaran mesej Kakao Talk terakhir antara penumpang dan keluarga mereka telah dilaporkan secara meluas dalam media tempatan.

    Mesej daripada ibu bapa dan penumpang itu berbunyi: “Tunggu, seekor burung terperangkap pada sayap. Tidak boleh mendarat sekarang… Perlukah saya tinggalkan wasiat?”

    Itu adalah mesej terakhir yang dihantar pada 9:01 pagi.

    Anak mereka membalas: “Kenapa saya tidak boleh bercakap dengan awak?”. Mesej itu dihantar pada 9:37 pagi dan masih belum dibaca. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda