Oleh Hajib Sarhan –
Udang mentega ini menampilkan udang segar yang disalut tepung ringan lalu digoreng hingga rangup di luar dan lembut di dalam. Hidangan ini diserikan lagi dengan ‘telur bersarang’ lembut yang digoreng dalam campuran mentega dan rempah, serta aroma daun kari dan cili yang menyerlahkan rasa, menjadikannya juadah laut yang sangat menggoda selera.
CARA PENYEDIAAN :
Mula-mula, gaulkan udang bersama tepung jagung dan sedikit garam hingga rata. Panaskan minyak hingga betul-betul panas dan goreng udang selama beberapa minit sehingga keemasan. Setelah masak, angkat udang dan toskan minyak berlebihan.
Seterusnya, untuk telur bersarang, kacau kuning telur dan tapis untuk mendapatkan tekstur yang lebih halus. Panaskan campuran minyak dan mentega dalam kuali di atas api perlahan. Apabila mentega cair, tuangkan adunan telur dari jarak agak tinggi sambil terus mengacau perlahan supaya terbentuk benang halus atau egg floss. Dalam proses ini, masukkan bawang putih cincang, cili padi, daun kari, gula, garam dan serbuk pati ayam.
Kacau sehingga telur berbuih kecil dan naik aroma mentega serta rempah.
Akhir sekali, untuk sos pula, masukkan udang goreng ke dalam kuali sos dan gaul perlahan selama kira-kira 30 saat supaya udang bersalut sempurna. Tapis lebihan minyak sebelum dihidangkan agar hasil akhir tidak terlalu berminyak dan lebih menyelerakan.
TIP :
• Gunakan udang segar bagi hasil yang terbaik agar kelembutan dan aroma akan lebih menonjol.
• Jangan terlebih masak udang. Cukup supaya garing di luar dan isi masih lembut.
• Untuk telur bersarang yang cantik, tabur adunan dari jarak tinggi agar benang telur terbentuk halus dan tidak melekat.
• Minyak menggoreng udang dan minyak untuk telur bersarang sebaiknya dipisahkan supaya rasa tidak tercampur.
• Masak mentega di atas api perlahan supaya tidak hangus dan aroma kekal lembut.
Bahan-bahan:
Untuk udang goreng:
• 7 ekor udang besar, bersihkan & buang kulit / kepala jika mahu
• 2 sudu besar tepung jagung
• Sedikit garam
• 1 cawan minyak masak (untuk menggoreng)
Untuk telur bersarang & sos mentega:
• 5 kuning telur
• 2 ulas bawang putih, dicincang halus
• 2 tangkai cili padi, dicincang halus
• ½ cawan minyak masak
• 50 g mentega
• 1 tangkai daun kari
• Sedikit garam
• 1 sudu kecil gula
• ½ sudu kecil serbuk pati ayam
• (Opsional) sedikit serbuk pati ayam untuk perasa tambahan





