YESUD HAMA’ALA, ISRAEL, 20 SEPT – Sebuah ladang Israel telah menghabiskan berdekad-dekad membangunkan buah hibrid, daripada aprikot hitam kepada ‘plum tembikai’, yang dikatakannya menawarkan rasa unik dan menambah kemapanan terhadap perubahan iklim.
Ben Dor Fruits and Nurseries, terletak di Yesud HaMa’ala, menggunakan teknik kacukan dan berjaya menghasilkan varieti unik buah biji keras di dusunnya di Lembah Hula di utara Galilee.
Antara buah yang ditanam ialah ‘plum delima’, yang mempunyai rasa amat manis, ‘plum tembikai’ dengan isi merah dan kulit hijau, dan plum ‘lamoon’ berwarna kuning cerah, berbentuk seperi air mata terbalik dan mempunyai rasa seakan-akan tart.
“Kami melihat terdapatnya potensi untuk mengembangkan buah-buahan yang berlainan dan unik dari segi bentuk dan rasanya,” kata pengarah perniagaan Sefi Ben Dor.
Pengeluaran tahunan, yang mencecah antara dua dan tiga tan, juga termasuk aprikot pelbagai warna, terutamanya merah dan hitam.
Anak lelaki pengarah, Ido Ben Dor, berkata syarikat tersebut berusaha untuk menghasilkan varieti baharu, dengan tumpuan pada jenis yang mampu bertahan kesan perubahan iklim, terutamanya inisiatif dalam menyesuaikan tanaman buah terhadap suhu yang berubah. – AFP
