Rasa unik ‘Roti Kahwin’ bakar arang

SARIKEI – Wujud sejak sebelum perang dunia kedua, Kedai Kopi Aik Seng di sini antara tempat yang perlu dikunjungi oleh mereka yang singgah di bandar Sarikei, kira-kira 346 kilometer dari Kuching.

Terletak di Jalan Wharf di sini, kedai kopi yang terkenal dengan menu “roti kahwin” dibakar menggunakan arang itu beroperasi sejak 1930an dan kini dikendalikan oleh generasi ketiga keluarga pengasasnya, Wong Ee Nong.

Wong Me Me, 40, cucu Ee Nong, meninggalkan kerjaya lumayan dalam bidang korporat di ibu negara demi menguruskan perniagaan legasi keluarga.

Menurut wanita itu, sejak datuknya meninggal dunia pada 1978, bapanya Wong Tian King mengambil alih pengurusan perniagaan tersebut.

“Bapa kini berusia 73 tahun dan sudah semakin uzur. Justeru, pada 2017 saya kembali ke Sarawak dan mengambil alih tanggungjawab menguruskan perniagaan ini,” katanya kepada Bernama.

Menurut Me Me, sekalipun kebanyakan kedai membakar roti menggunakan teknologi moden, Kedai Kopi Aik Seng mengekalkan penggunaan arang kayu yang memberikan rasa unik pada roti tersebut.

Sekalipun terpaksa berdepan dengan bahang api yang kuat, kaedah membakar roti menggunakan arang ini adalah kelebihan kedainya, kata Me Me.

Ada tiga variasi roti bakar yang ditawarkan, namun rata-rata pelanggan menggemari roti kahwin gabungan marjerin, kaya pandan dan mentega kacang, katanya, menambah dua lagi menu roti kahwin ialah sardin dan keju.

Selain roti bakar, kedai kopi itu turut menawarkan menu lain seperti laksa Sarawak, nasi lemak dan mi kolok.

Dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 4 petang, kedai kopi itu turut mendapat perhatian tokoh pemimpin negeri, antaranya bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang sering dilihat menjamu selera di situ. – Bernama

Variasi roti kahwin yang dijual di Kedai Kopi Aik Seng. – Bernama
Wong Me Me menunjukkan ‘roti kahwin’ yang menjadi pilihan pelanggannya Kedai Kopi Aik Seng. – Bernama