Thursday, April 17, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasai ‘era baharu’ Nintendo Switch 2

    NEW YORK – Nintendo Switch 2 kini lebih besar dan lebih hebat berbanding versi terdahulu yang dikeluarkan lapan tahun lalu, ketika syarikat pembangun permainan video itu berusaha membawa jenamanya ke dalam ‘era baharu’ di mana pengalaman sosial menjadi keutamaan.

    Switch 2 akan mula dipasarkan pada 5 Jun.

    “Kami akan membawa awda melangkah ke era baharu Nintendo,” kata Presiden Nintendo Amerika, Doug Bowser, kepada tetamu yang hadir untuk mencuba konsol Switch baharu.

    Jadi, apakah ciri-ciri baharu yang terdapat dalam Switch 2?

    Fungsi sembang video dan audio serta perkongsian permainan merupakan ciri utama konsol baharu ini. Salah satu Joy-Con Switch 2 – iaitu pengawal permainan – kini dilengkapi dengan butang ‘C’ untuk mengakses ‘GameChat’ dengan pantas.

    Doug Bowser menyampaikan ucapannya semasa kemunculan sulung Nintendo Switch 2, di New York pada 2 April. – AP
    Gambar menunjukkan pengawal Joy-Con Nintendo Switch 2 yang menyertakan butang ‘C’ baharu semasa acara media, di New York pada 2 April. – AP
    Gambar menunjukkan pengawal permainan untuk Nintendo Switch 2. – AP
    Gambar menunjukan Nintendo Switch 2. – AP
    Konsol permainan video Nintendo Switch 2 baharu dipamerkan pada acara pratonton media di New York pada 2 April. – AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP
    Gambar AP

    Dengan satu klik, paparan tetingkap kecil akan muncul, menayangkan permainan pemain lain di bahagian bawah skrin pengguna dalam bentuk kotak seperti panggilan persidangan video.

    Penyambungan kamera yang dijual secara berasingan membolehkan pemain memaparkan wajah mereka sendiri dalam tetingkap tersebut, menggantikan perkongsian skrin permainan.

    Malah sesetengah pemain membenarkan kamera muncul secara langsung dalam permainan itu sendiri. Konsol baharu ini juga kini dilengkapi dengan mikrofon terbina untuk komunikasi audio.

    Ciri lain termasuk ‘GameShare,’ yang membenarkan pengguna untuk berkongsi permainan mereka secara sementara dengan pemain konsol lain yang tidak memilikinya.

    Selain itu, terdapat satu lagi fungsi menarik iaitu keupayaan untuk mengawal Joy-Con konsol seperti tetikus komputer satu ciri yang menyasarkan golongan pemain yang biasa dengan permainan berasaskan PC sesuatu yang sangat dinantikan oleh para pembangun untuk dicuba oleh pengguna.

    “Disebabkan oleh persekitaran yang kita rasai, ia adalah satu pengalaman secara langsung,” kata pengarah konsol tersebut, Takuhiro Dohta, melalui seorang penterjemah semasa acara media.

    Sementara itu, Kouichi Kawamoto, penerbit Switch 2, menyifatkan ciri tetikus itu sebagai ‘menyeronokkan’ dan ‘mengasyikkan’ kepada permainan video itu.

    “Kami telah membuat beberapa pengubahsuaian agar pemain boleh mengawal tetikus di atas riba,” kata Kawamoto melalui seorang penterjemah mengenai duduk dan menggunakan kaki sendiri sebagai permukaan tetikus. “Terdapat beberapa orang dalam pasukan pembangunan yang memang lebih gemar bermain dengan cara itu,” tambahnya.

    MENGUJI KONSOL SWITCH 2

    Kawasan demo pihak media mempunyai sebuah stesen untuk mencuba fungsi tetikus dalam permainan bola keranjang kerusi roda. Pemain menggunakan kedua-dua Joy-Con sebagai ‘tetikus’ untuk permainan itu.

    Menggunakan kedua-duanya serentak memberikan pengalaman permainan yang sangat berbeza daripada kebanyakan permainan lain.

    Stesen itu dilengkapi dengan pad licin yang membolehkan Joy-Con digunakan dengan lancar.

    Satu lagi stesen tanpa pad masih berfungsi dengan baik di atas permukaan meja yang keras merupakan permainan yang tidak memerlukan ketepatan tinggi.

    Permainan pertama yang dimainkan ialah Mario Kart World yang disertakan dalam pakej konsol tersebut.

    Ia dimainkan dalam mod pegangan tangan. Skrin LCD berukuran 7.9 inci itu lebih besar dan perbezaannya jelas terasa.

    Jika diletakkan bersebelahan dengan model Switch OLED generasi sebelumnya, pastinya perbezaannya sangat ketara.

    Grafik dalam mod pegangan tangan jelas lebih baik dengan resolusi 1080p. Dalam mod docked, Nintendo menyatakan sistem ini mampu menyokong resolusi 4K untuk permainan yang serasi.

    Walaupun tidak jelas sama ada permainan yang dipamerkan dalam mod docked itu serasi dengan 4K, grafiknya kelihatan jauh lebih baik berbanding Switch generasi pertama terutamanya dalam permainan Hogwarts Legacy. Memang mengagumkan!

    JANGKA HAYAT BATERI

    Antara permintaan daripada peminat Switch ialah jangka hayat bateri yang lebih baik.

    Pembangun permainan tidak dapat menjanjikan itu, sebahagian besarnya disebabkan oleh jangka hayat bateri tergantung kepada persekitaran dan kondisi konsol itu beroperasi.

    Switch 2 menggunakan lebih banyak tenaga, tetapi mereka berkata ia mempunyai bateri yang lebih besar untuk mengimbangi penggunaan tersebut.

    “Dengan Switch 2, disebabkan oleh ciri seperti ‘GameChat’….terdapat kebolehubahan jangka hayat bateri meskipun lebih besar berbanding Nintendo Switch,” kata Dohta.

    Apabila ditanya mengenai kekurangan bakal cip, kos perkakas dan pandemik, pembangun permainan berkata faktor tersebut memberikan kesan kepada pembangunan permainan dari segi jumlah konsol yang boleh mereka hasilkan.

    “Ya, sebagai contoh, COVID memang memberi kesan besar dalam pembangunan,” kata pengarah teknikal konsol itu, Tetsuya Sasaki, melalui seorang penterjemah.

    “Walaupun berdepan kekurangan cip, kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan perlu menjadi kreatif untuk mengatasinya. … Dan ya, malah Nintendo Switch sendiri sukar didapati pada satu ketika.” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda