Friday, April 26, 2024
25.5 C
Brunei

    -

    Rasai pengalaman mencanting dan mewarna batik

    KUALA LUMPUR – Keunikan penghasilan seni batik menggunakan lilin dan bahan pewarna untuk mencorak tekstil sememangnya telah diketahui umum.

    Menjadi sebahagian warisan budaya negara dengan sejarah awalnya dapat dijejak sejak era 20an lagi, sebenarnya menjadi satu kerugian bagi rakyat Malaysia sekiranya sehingga kini tidak pernah merasai pengalaman menghasilkannya sendiri.

    Menyedari situasi itu, pasangan muda Muhammad Hafiz Sulaiman, 33 dan Aida Batrisyia Azliman, 26, daripada Teja Art & Crafts tampil mengadakan bengkel mencanting dan mewarna batik di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), sebagai usaha mendedahkan orang ramai kepada kaedah penghasilan batik, baru-baru ini.

    Muhammad Hafiz yang sudah berpengalaman lebih enam tahun dalam industri batik, percaya usaha itu dapat mendekatkan pelbagai golongan terutama generasi muda untuk lebih menghargai karya seni batik Malaysia.

    “Kami membuka kios di MaTiC dan mempromosikannya sebagai salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan pelancong ketika berkunjung ke Kuala Lumpur, kerana mereka dapat merasai sendiri pengalaman menghasilkan batik bermula daripada proses awal.

    Kios di MaTiC mempromosikan salah satu aktiviti menarik yang boleh dilakukan pelancong ketika berkunjung ke Kuala Lumpur. – Bernama
    Muhammad Hafiz menyediakan kit batik dengan kepelbagaian corak dan motif antaranya tumbuh-tumbuhan, pemandangan, haiwan, bunga-bungaan, animasi dan bangunan pencakar langit. – Bernama

    “Satu nilai tambah yang pengunjung boleh dapat daripada bengkel ini, apabila kita turut berkongsi pengetahuan tentang batik Malaysia, mengajar proses pembuatan, menghuraikan rekaan yang dihasilkan dan mereka boleh membawa pulang untuk dijadikan memori serta cenderahati,” katanya ketika ditemui Bernama. 

    Anak muda kelahiran Telok Mas, Melaka itu berkata bagi memudahkan pengunjung, pihaknya juga menyediakan kit batik dengan kepelbagaian corak dan motif antaranya tumbuh-tumbuhan, pemandangan, haiwan, bunga-bungaan, animasi dan bangunan pencakar langit.

    Dengan kit batik tersebut, pengunjung boleh mencanting dan mewarna corak batik pilihan mereka menggunakan peralatan yang disediakan pihak Teja Art & Crafts seperti pen mencanting, berus dan palet mewarna.

    Jelas Muhammad Hafiz, kit batik tersebut didatangkan dengan pelbagai saiz, bermula harga serendah RM30 bagi saiz kecil sehingga RM70 bagi saiz besar, yang mana pengunjung boleh membawa pulang sebagai kenangan setelah siap hasilnya.

    Pengunjung yang berhasrat untuk merasai pengalaman itu, perlu membuat tempahan melalui WhatsApp atau mana-mana laman media sosial Teja Art & Crafts terlebih dahulu, memandangkan ruang yang disediakan di MaTiC amat terhad iaitu hanya memuatkan 15 orang pada satu-satu sesi, dengan setiap sesi memakan masa antara satu hingga dua jam.

    “Kebanyakan pengunjung yang hadir menyertai bengkel mencanting dan mewarna batik itu sangat teruja, untuk merasai pengalaman ini dan kebiasaannya mereka fikir ia senang untuk dihasilkan.

    “Bagaimanapun selepas kita terangkan proses yang betul antaranya mereka perlu memastikan lilin mempunyai kepanasan yang sekata bagi mendapatkan rekaan yang jelas dan mempunyai kesabaran yang tinggi, barulah mereka faham akan kerumitan dalam penghasilan batik dan mula menghargai seni halus ini.

    “Bagi saya mewarna di atas kain ini akan timbul kepuasan kerana bila air dan warna itu meresap ke dalam fabrik mereka yang dewasa akan merasainya sebagai terapi dan bagi kanak-kanak mereka rasa perkara itu mengujakan dan kagum,” katanya yang turut menyediakan aktiviti melukis pada beg jinjing, baju dan labu sayong.

    Menurut Muhammad Hafiz, kebiasaannya sekitar 30 hingga 50 orang pengunjung akan menyertai bengkel mereka pada hujung minggu, dengan kebanyakannya adalah anak muda dari Kuala Lumpur sendiri, yang begitu teruja untuk menghasilkan batik.

    Beliau berharap pembukaan sempadan negara sejak 1 April lepas, akan membawa lebih ramai pelancong menyertai bengkel mereka yang dibuka setiap hari bermula 11 pagi hingga 5 petang, untuk merasai pengalaman mencanting batik sekali gus membawa pulang kenangan indah semasa berada di Malaysia. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...