GDANSK, 27 MEI – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford berkata hari ini bahawa dia berdepan ‘sekurang-kurangnya 70 penghinaan perkauman’ di media sosial selepas pasukannya tewas menerusi sepakan penalti kepada Villarreal di aksi final Liga Europa.
Villarreal memenangi trofi utama buat julung kali menerusi sepakan penalti 11-10 selepas terikat seri 1-1 kepada Villarreal pada masa tambahan aksi final kelmarin.
“Sekurang-kurangnya 70 penghinaan perkauman di dalam akaun media sosial dicatatkan setakat ini,” tulis Rashford dalam Twitternya kurang 90 minit selepas perlawanan tamat.
“Bagi mereka yang berusaha untuk menjadikan saya merasa kurang senang dari yang saya alami sekarang, selamat mencuba.”
Rashford menambah bahawa dia ‘berang’ selepas menerima ‘banyak emoji monyet’ dalam pesanan dari orang yang menggunakan profil mengesahkan diri mereka sebagai seorang guru.
Pada Januari, polis Britain menyiasat mengenai penganiayaan di media sosial disasarkan kepada beberapa orang pemain United. Rashford dan dua rakan sepasukannya berkata bahawa mereka merupakan mangsa sasaran.
“Memang benar saya berkulit hitam dan saya menjalankan kehidupan seharian dengan berbangga dengan siapa diri saya,” tulisnya pada ketika itu. Tiada sesiapa atau tiada komen yang akan dapat membuatkan perasaan saya berubah. Saya minta maaf jika sekiranya anda menantikan reaksi keras dari saya, anda tidak akan berupaya untuk melakukannya.”
Kelab bola sepak England dan pemain telah memboikot media sosial selama empat hari pada April dan Mei sebagai tanda bantahan terhadapan penganiayaan perkauman dan mendesak lebih banyak tindakan daripada syarikat-syarikat yang menjalankan platform tersebut.
Tokoh sukan lain termasuk juara Formula Satu, Lewis Hamilton dan Persatuan Tenis Antarabangsa turut menyertai tindakan untuk memboikot. – AP
