LONDON, 8 APRIL – Marcus Rashford kembali ke Paris Saint-Germain bersama Aston Villa esok mencari kemenangan hatrik baginya di rumah juara Perancis itu.
Villa menuju ke Paris dalam suasana yang memberangsangkan selepas tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan meletakkan Villa di tempat keenam dalam Liga Perdana dan berdepan Crystal Palace dalam separuh akhir Piala FA akhir bulan ini.
Rashford bakal beraksi hebat selepas dua kali memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan semasa bersama kelab lamanya, Manchester United di stadium Parc des Princes milik PSG.
Pada 2019, dalam pertemuan pusingan kedua peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara, dia menjaringkan penalti pada masa kecederaan, memastikan United mara dengan gol di tempat lawan.
Dua musim kemudian, di peringkat kumpulan pertandingan, Rashford sekali lagi menjaringkan gol lewat untuk mengesahkan ketiga-tiga mata dalam kejayaan 2-1.
Kali ini pemain sayap England itu, yang sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke PSG, akan memakai jesi berbeza selepas meninggalkan Trafford.
Penyerang yang sedang menikmati kebangkitan semula, telah beraksi baik dengan memberikan beberapa bantuan serta menjaringkan gol Liga Perdana pertamanya untuk Villa menentang Brighton minggu lalu, tiga hari selepas menjaringkan dua gol dalam kemenangan 3-0 Piala FA pada suku akhir menentang Preston.
Emery, yang menguruskan PSG dari 2016 hingga 2018, berkata Rashford, yang turut dipanggil semula oleh pengurus England, Thomas Tuchel bulan lalu, berada di landasan yang betul.
Masih belum pasti sama ada pemain berusia 27 tahun itu akan kekal di Villa Park musim depan tetapi buat masa ini dia meletakkan sasaran untuk memenangi Liga Juara-Juara bersama kelab baharunya – sesuatu yang tidak pernah dicapati di United.
“Dia sedang memulihkan keyakinan dirinya, hanya fokus pada bola sepak, berada selesa bersama rakan sepasukannya, mengenal pasti dan memahami gaya dan tuntutan permainan kami,” kata Emery.
“Segala-galanya tentang dia bertambah baik.”
