Friday, September 20, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rashid simpati nasib Tze Yong

    KUALA LUMPUR, 31 MAC – Legenda badminton Malaysia, Datuk Rashid Sidek berasa simpati dengan nasib dialami perseorangan lelaki Malaysia, Ng Tze Yong yang terpaksa melupakan hasrat membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik edisi 2024 di Paris.

    Pemenang pingat gangsa edisi 1996 di Atlanta berkata ‘mimpi buruk’ dialami Tze Yong merupakan satu kerugian buat negara yang tidak dapat menyenaraikan dua wakil dalam acara perseorangan lelaki pada temasya empat tahun sekali itu.

    “Kalau saya tak dapat pergi ke Olimpik pun rasa kecewa tetapi nak buat macam mana kerana tiada rezeki untuk Tze Yong ke sana.

    “Memang ada rasa rugi kita tiada dua wakil di Paris nanti. Saya percaya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebolehnya mahu ada dua wakil tapi mahu tidak mahu kita harus terima hakikat ini dan fokus bantu Tze Yong persiapkan diri untuk kejohanan seterusnya sehingga Sukan Olimpik (Los Angeles 2028),” katanya kepada Bernama.

    Ditanya sama ada penampilan di Los Angeles 2028 agak terlalu lewat buat pemain berusia 23 tahun itu menjejakkan kaki ke temasya Olimpik, Rashid menolak tanggapan sedemikian kerana faktor umur bukan kayu pengukur kepada kejayaan seseorang pemain di pentas sukan berprestij dunia.

    Katanya, beliau menyumbang pingat buat negara di Atlanta 1996 sewaktu berusia 28 tahun manakala juara edisi tersebut iaitu Poul-Erik Hoyer Larsen dari Denmark juga mengecap kejayaan membanggakan buat negaranya pada umur 30 tahun.

    “Sama seperti Datuk Lee Chong Wei, kali terakhir beliau menang pingat perak (Rio 2016) pun waktu itu berumur 33 tahun. Apa yang penting bergantung kepada seseorang pemain itu, jika rasa umur 30 tahun masih boleh bermain, terpulang padanya,” katanya.

    Justeru, bekas pemain Malaysia berusia 55 tahun itu berharap Tze Yong dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada proses pemulihan susulan pembedahan di bahagian belakang baru-baru ini sebelum benar-benar bersedia kembali ke gelanggang.

    Beliau berkata pemain di ranking ke-18 dunia itu juga tidak boleh terburu-buru dan memaksa diri untuk segera beraksi bagi mengelakkan situasi lebih buruk menimpanya pada masa depan. – Bernama

    Gambar Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda