COLOMBO, 29 MEI – Mahkamah Sri Lanka hari ini menjatuhkan hukuman penjara berpuluh tahun terhadap dua bekas menteri daripada kerajaan bekas presiden yang digulingkan, Gotabaya Rajapaksa, dalam kes rasuah negara.
Bekas Menteri Sukan, Mahindananda Aluthgamage dan bekas Menteri Perdagangan, Anil Fernando, didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Colombo atas tuduhan menyalahgunakan dana negara berjumlah kira-kira AS$177,000.
Kedua-duanya turut didenda AS$2,000 kerana menggunakan wang kerajaan untuk mendermakan permainan papan – termasuk 14,000 papan carrom dan 11,000 set dam – sebagai usaha untuk menyokong kempen pilihan raya semula 2015 yang gagal bagi abang Gotabaya, Mahinda Rajapaksa.
Aluthgamage dijatuhi hukuman penjara 20 tahun manakala Fernando pula 25 tahun.
Aluthgamage kini merupakan ahli kabinet pimpinan Rajapaksa yang paling kanan dan berjaya didakwa atas kes rasuah.
Kes terhadap kedua-dua mereka bermula enam tahun lalu, sewaktu keluarga Rajapaksa tidak berkuasa, namun proses mahkamah berjalan perlahan sehingga kerajaan baharu mengambil alih tahun lalu.
Aluthgamage juga sedang disiasat secara berasingan atas dakwaan meluluskan pembayaran sebanyak AS$6.09 juta pada tahun 2022 kepada pembekal China bagi penghantaran baja yang tidak pernah diterima.
Dia mencetuskan kontroversi pada 2020 apabila menuduh pasukan kriket kebangsaan Sri Lanka melakukan penipuan pada final Piala Dunia 2011 demi menguntungkan India, yang mencetuskan siasatan tetapi gagal mengesahkan dakwaannya. – AFP
