Sunday, September 15, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: 42 pegawai dicekup

    CARACAS, 2 APRIL – Lebih daripada 40 orang telah ditangkap di Venezuela dalam usaha pembersihan rasuah terhadap syarikat minyak negara, PDVSA dan badan kerajaan yang berkaitan, kata pejabat pendakwa kelmarin.

    Penghapusan ini bermula pada 17 Mac selepas sebuah kenyataan dikeluarkan oleh polis anti-rasuah, yang menyeru kepada pendakwaan pegawai yang “mungkin terlibat dalam perbuatan rasuah dan pecah amanah yang serius.”

    Setakat ini, menteri minyak negara itu, Tareck El Aissami, telah meletakkan jawatannya atas siasatan rasuah, sementara pembersihan rasuah itu telah menyasarkan pegawai di PDVSA serta entiti awam lain.

    Pejabat pendakwa raya telah menangkap “42 subjek yang berkaitan dengan pelbagai skim rasuah yang cuba menggelapkan ekonomi negara,” kata Peguam Negara, Tarek William Saab di Twitter.

    Penangkapan yang terbaru ialah Pedro Maldonado, presiden syarikat milik negara Corporacion Venezolana Guayana, serta para pegawai daripada syarikat logam, SIDOR.

    Peguam Negara Venezuela, Tarek William Saab bercakap semasa sidang akhbar mengenai kes rasuah dengan syarikat minyak milik kerajaan, PDVSA, di Caracas, Venezuela, baru-baru ini. – AP

    Pegawai itu dituduh mengambil dana awam, penggubahan wang haram, menjaja pengaruh dan pengkhianatan, kata pendakwa raya semasa sidang media baru-baru ini.

    Sumber-sumber mahkamah memberitahu AFP bahawa Maldonado, yang sebelum ini adalah pengarah Bank Pusat Venezuela (BCV), adalah sebahagian daripada skim rasuah yang dipimpin oleh bekas ahli perundangan, Hugbel Roa.

    Roa yang ditangkap dalam penghapusan bulan ini adalah seorang pemimpin penting parti pemerintah, Parti Sosialis Bersatu Venezuela selama bertahun-tahun.

    El Aissami, yang dikenakan sekatan AS, juga merupakan sebahagian daripada parti pemerintah dan pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Venezuela, serta Menteri Dalam Negeri dan Perindustrian.

    Setakat ini, jumlah wang yang dicuri tidak diumumkan, tetapi laporan media menganggarkan sekurang-kurangnya AS$3 bilion. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda