Rasuah: Anggota beruniform kena 18 bulan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Seorang anggota beruniform yang memberi rasuah kepada seorang anggota lainnya telah dijatuhi hukuman penjara selama 18 bulan oleh Mahkamah Majistret, kelmarin.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya Shamshuddin Kamaluddin, Sarjan 3795 Pengiran Ahmad bin Pengiran Haji Zainal, 41, sebelumnya bertugas sebagai ketua Unit Tugas Khas sebelum menjadi pegawai penyiasat.

Pada 24 Februari, tertuduh bertemu dengan seorang anggota beruniform yang sama di sebuah tempat letak kereta di Daerah Belait dan memberinya duit sebanyak $200 sebagai ganjaran dalam memberikan maklumat mengenai serbuan yang akan dijalankan di tempat perjudian.

Pada 5 Mac, tertuduh kemudiannya sekali lagi memberikan rasuah berbentuk wang tunai sebanyak $50 kepada rakannya itu untuk tujuan yang sama.

Peguam Bela Pengiran Khairul Nizam bin Pengiran Haji Mohd Yassin bagi pihak tertuduh mengemukakan mitigasi, memohon kelonggaran dan mahkamah memberikan pertimbangan terhadap keadaannya yang terpaksa menanggung sembilan orang anaknya dan ibunya.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa tertuduh telah berkhidmat selama 23 tahun di dalam pasukan beruniform sejak 1997.

Majistret Kamaliah Fadhilah binti Haji Ibrahim mempertimbangkannya, namun tumpuan diberikan kepada faktor-faktor yang mengeruhkan lagi kes ini iaitu penyalahgunaan pengetahuan dan hubungan tertuduh yang sebelumnya merupakan ketua Unit Tugas-tugas Khas, keterlibatan peribadinya dalam menubuhkan dan menguruskan beberapa kubu perjudian, menghakis imej polis kepada orang ramai dan mendedahkan maklumat sulit.

Majistret menekankan bahawa sebagai seorang pegawai beruniform, yang sebelumnya bertanggung jawab dalam membantu negara memerangi jenayah tersebut, telah merosakkan integriti rakan-rakannya dan pasukannya.

Sebelumnya, tertuduh juga menghadapi pertuduhan melindungi perjudian dan memberi pinjaman kepada rakan sekerja, namun pihak pendakwaan telah menarik balik tuduhan tersebut.