Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    ‘Rasuah antara punca rakyat tidak dapat perkhidmatan sepatutnya’

    SHAH ALAM, 22 SEPT – Gejala rasuah menjadi antara punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

    Baginda bertitah rasuah juga mengakibatkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

    “Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

    “Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar…lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda.

    Baginda bertitah demikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan di sini hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah rasuah ialah penyakit dalam masyarakat yang bersifat barah, yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi sehingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut jika dibiarkan merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi. – Bernama 

    Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (dua, kiri) berkenan melancarkan Buku ‘Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu’ hasil karya Profesor Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan di Kumpulan Media Karangkraf, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...