Wednesday, December 4, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: Bekas ketua bank China terima hukuman

    BEIJING, 5 FEB – Bekas ketua sebuah bank besar China dijatuhi hukuman mati hari ini kerana rasuah, lapor media kerajaan, keputusan terbaharu dalam tindakan keras membanteras rasuah dalam sektor kewangan.

    Presiden China, Xi Jinping telah melancarkan kempen besar-besaran menentang rasuah yang berakar umbi sejak berkuasa sepuluh tahun lalu, walaupun pengkritik berkata dasar itu telah membantunya menyingkirkan saingan politik.

    Tian Huiyu, bekas Presiden Bank Perdagangan China, hari ini dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan selama dua tahun, dan selepas itu hukuman tersebut boleh ditukar kepada penjara seumur hidup.

    Tian didapati bersalah kerana ‘menerima rasuah,’ lapor penyiar negeri CCTV, serta bertahun-tahun ‘menyalahgunakan kuasa kakitangan syarikat milik kerajaan, berniaga maklumat yang tidak didedahkan, perdagangan dalaman dan membocorkan maklumat dalaman.’

    Tian pertama kali diletak di bawah siasatan awam pada April 2022, apabila kempen anti-rasuah beralih tumpuannya kepada beberapa pembiaya terkemuka negara.

    Pada Disember lalu, Zhou Qingyu, bekas Naib Presiden Bank Pembangunan China (CDB), telah ditangkap kerana disyaki menerima rasuah.

    Manakala pada bulan Januari lalu, bekas pengerusi gergasi perbankan China milik kerajaan, Everbright Group, telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan sogokan.

    Bulan lalu juga, bekas Eksekutif Tertinggi CDB, He Xingxiang, telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana rasuah. – AFP

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda