Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 DIS – Allah SWT telah mengurniakan berbagai-bagai sumber rezeki di muka bumi ini untuk makhluk ciptaanNya dan bagi manusia pula, kita dianjurkan untuk berusaha mencari rezeki dengan usaha dan kudrat yang telah dikurniakan.
Oleh itu, dalam usaha mencari rezeki, kita hendaklah sentiasa mengikuti panduan dan landasan ajaran agama Islam agar sumber rezeki yang diperolehi itu tidak dicemari oleh perkara-perkara dan hasil yang tidak diredhai Allah SWT seperti mencuri, pecah amanah, rasuah dan seumpamanya, tekan kha-tib dalam khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Hindarkan Diri Daripada Gejala Rasuah’.
Khatib menjelaskan bahawa rasuah adalah antara perbuatan yang keji dan dilarang dalam agama Islam, ia adalah suatu pemberian berupa sogokan yang diberikan kepada seseorang atas sebab tertentu bagi membolehkan suatu perkara yang dihajati itu diperolehi, diselesaikan, disegerakan dan sebagainya.
Sesungguhnya orang yang memberi dan menerima rasuah bukan sahaja mendapat dosa besar, bahkan juga mendapat laknat daripada Allah SWT.
“Perbuatan dan gejala rasuah adalah penyakit dalam sesuatu masyarakat kerana kesan dan implikasinya terhadap sosioekonomi dan politik boleh mengheret individu, masyarakat, bangsa mahupun negara kepada bencana dan kehancuran disebabkan oleh sifat tamak dan kerakusan individu itu sendiri.
“Ingatlah, bahawa rasuah tidak pernah menjanjikan kesenangan dan kemewahan yang sebenar, walaupun kita memperolehi keuntungan yang sangat besar daripadanya. Ini kerana hasil yang diperolehi melalui amalan rasuah adalah haram,” tekan khatib lagi.
Khatib dalam khutbahnya turut mengongsikan antara punca-punca berlakunya rasuah iaitu disebabkan oleh kurangnya keimanan dan ketakwaan, dikaburi oleh harta duniawi, imbuhan dan ganjaran yang banyak, faktor tekanan hidup kerana dibebani hutang, kurang bijak mengurus hal ehwal kewangan, dan kelemahan dalam kepimpinan dan urus tadbir sesebuah organisasi juga boleh memberi ruang dan kesempatan kepada pemberi dan penerima rasuah untuk melakukan jenayah.
“Sesungguhnya perbuatan rasuah tidak sesekali akan berlaku, jika seseorang itu berpegang teguh kepada ajaran agama Islam, sentiasa memantapkan keimanan dan ketakwaan serta takut kepada Allah SWT, walaupun ia berpeluang untuk melakukannya,” tekan khatib.
Bersempena dengan Hari Anti-Rasuah Antarabangsa yang disambut setiap tahun pada 9 Disember, khatib mengajak kita bersama-sama untuk berganding bahu dalam memerangi gejala rasuah dengan melaporkan kegiatan tersebut kepada Biro Mencegah Rasuah jika kita mengetahui atau mempunyai sebarang maklumat mengenainya.
Selain itu, khatib juga menyentuh mengenai musim cuti persekolahan yang telah pun bermula pada masa ini, di mana khatib ada menasihatkan untuk mengutamakan faktor keselamatan diri, keluarga dan harta benda di dalam keseronokan menikmati cuti persekolahan, terutamanya apabila berada di jalan raya.
“Ingatlah, kecuaian para pemandu boleh mengakibatkan kerosakan, kemusnahan kenderaan dan yang lebih dahsyat lagi ialah ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” tekan khatib.
Sehubungan itu, khatib turut mengongsikan bahawa kadar kemalangan jalan raya yang melibatkan kehilangan nyawa telah menurun sebanyak 62 peratus dari tahun 2017 hingga 2019. Sementara kemalangan jalan raya secara menyeluruh telah menurun kepada 67 peratus dari tahun 2017 hingga September 2019.
“Akhirnya, mudah-mudahan pada musim cuti persekolahan ini kita akan terhindar daripada sebarang mara bahaya dan mala petaka dan sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat yang berterusan daripada Allah SWT,” jelas khatib di hujung khutbahnya.