KOTA KINABALU, 18 JUN – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah bulan ini berhubung skandal rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dengan ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil merakamkan percakapan.
“Mereka akan didakwa di mahkamah pada bulan ini, mungkin hujung bulan… kita (SPRM) sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Teknologi, Pengurusan dan Kelestarian (ICTMS 2025) anjuran Institut Penyelidikan Perakaunan (ARI), Universiti Teknologi MARA hari ini.
Ditanya mengenai ketulenan video yang tular berkaitan skandal terbabit, Azam berkata siasatan SPRM tidak hanya bergantung kepada bukti video semata-mata. – Bernama
