Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seorang lagi bekas pekerja Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) yang terlibat dalam pertuduhan rasuah dijatuhi hukuman penjara enam tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.
Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar memutuskan hukuman itu terhadap bekas mandur di Bahagian Operasi Pengeluaran, Awang Rosli bin Haji Simon yang didapati bersalah atas 11 tuduhan rasuah selepas perbicaraan.
Biro Mencegah Rasuah mendapati Awang Rosli antara Oktober hingga November 2005 telah menerima rasuah berjumlah $65,800 dari Syarikat Musfada yang merupakan syarikat pembekal kepada BSP.
Wang itu adalah sebagai ganjaran untuk membuat pesanan bagi pembelian produk yang merupakan sebahagian daripada kontrak dengan BSP.
Hakim Pengiran Masni juga menjatuhi hukuman tambahan berupa bayaran berjumlah $65,800 yang perlu dijelaskan dalam tempoh tiga bulan, dan jika gagal akan berdepan tambahan tiga bulan penjara.
Tertuduh juga diarahkan untuk membayar kos pendakwaan sebanyak $200,000 dalam tempoh tiga bulan atau berdepan tambahan tiga bulan penjara jika gagal.
Hakim Pengiran Masni memerintahkan hukuman penjara tertuduh bermula hari ini.
Awang Rosli merupakan antara lapan orang pekerja BSP yang terlibat dalam skim rasuah Syarikat Musfada Enterprise di mana empat rakannya yang didakwa atas kesalahan sama telah pun menerima hukuman mereka manakala Pengurus Musfada Enterprise, David Chong selaku pemberi rasuah telah dijatuhi penjara enam tahun dan empat bulan oleh Mahkamah Tinggi pada 2013.
Pendakwaan dijalankan Hri Kumar dari Drew & Napier Singapura bersama-sama pegawai dari Pejabat Peguam Negara.