ZAGREB, 13 Jun – Luka Modric akan menukar jersi bola sepaknya kepada sut hari ini ketika dia akan berada di kandang saksi untuk memberikan keterangan mengenai perbicaraan rasuah jutaan euro ke atas bekas pengerusi Dinamo Zagreb.
Pemain berusia 31 tahun itu dijangka memberikan bukti di perbicaraan ke atas Zdravko Mamic, yang dianggap sebagai orang paling berkuasa dalam bola sepak Croatia.
Mamic dibicarakan bersama tiga yang lain: abangnya dan bekas jurulatih Dinamo Zagreb, Zoran Mamic, bekas pengarah kelab Damir Vrbanovic, dan seorang pemeriksa cukai.
Mereka telah didakwa pada tahun lepas dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah yang merugikan bekas juara Croatia itu lebih 15 juta euro, dan negara sebanyak 1.5 juta euro.
Sebahagian besar wang, lebih daripada 12 juta euro, diambil secara haram oleh adik-beradik Mamic, menurut indikmen. Wang itu didakwa digelapkan melalui perjanjian rekaan yang berkaitan dengan perpindahan pemain.
Modric dijangkan memberikan keterangan mengenai perpindahannya pada tahun 2008 dari Dinamo ke Tottenham Hotspur.
Dari sana dia telah menyertai Real Madrid pada 2012.
Testimoninya yang diberikan kepada pendakwa raya di Zagreb pada tahun 2015 mungkin akan memalukan adik-beradik Mamic.
“Saya buat apa yang telah diberitahu kepada saya, untuk mengambil wang dan memberikannya kepada mereka,” kata Modric kepada pendakwa raya, menurut akbar Jutarnji.
Dia telah menjelaskan bahawa dia membayar mereka sekitar tujuh juta euro, seperti yang diarahkan, daripada sembilan juta yang dimasukkan dalam akaun banknya dari Dinamo.
Seorang lagi pemain antarabangsa Croatia, pemain pertahanan Liverpool Dejan Lovren, juga akan menjadi saksi esok.
Pemain berusia 27 tahun itu dijangka menerima soalan mengenai perpindahannya pada 2010 dari Dinamo ke pasukan Perancis, Lyon. – AFP