Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: pegawai tertinggi keselamatan kerja China dipenjara

    BEIJING, 22 Feb – Seorang bekas pegawai tertinggi keselamatan kerja China telah dijatuhi hukuman penjara 15 tahun kerana rasuah, setahun setengah selepas dia dipecat berhubung letupan besar industri yang membunuh 165 orang.

    Yang Dongliang, kini 63 tahun adalah ketua Pentadbiran Keselamatan Kerja Kerajaan pada Ogos 2015 apabila siri-siri letupan di tempat penyimpanan kimia berbahaya menggegarkan pelabuhan utara Tianjin.

    Yang segera disingkirkan dari jawatannya selepas bencana itu dan kemudian diletakkan di bawah penyiasatan bagi rasuah.

    Mahkamah di Beijing mengumumkan penghukuman Yang itu dalam satu kenyataan lewat semalam, dengan mengatakan dari tahun 2002 hingga 2015 dia telah menerima rasuah berjumlah 28.5 juta yuan dalam pertukaran bagi kontrak projek. Mahkamah juga berkata dia telah membeli sebuah pangsapuri bernilai 270,000 yuan di Tianjin pada tahun 1999 dengan menggunakan dana kerajaan.

    Bagaimanapun kenyataan itu tidak menyebutkan sama ada mana-mana kegiatan rasuah Yang berkaitan terus dengan bencana di Tianjin itu.

    Yang telah didenda dua juta yuan dan semua asetnya yang diperolehi secara haram dirampas.

    Sebelum menyandang jawatan kebangsaan itu, Yang adalah seorang pegawai di Tianjin selama 18 tahun dan kemudian menjadi timbalan datuk bandar.

    Rasuah kerajaan berleluasa di China dan Presiden Xi-Jinping telah melancarkan kempen anti rasuah yang begitu banyak dipublisitikan, selepas memegang jawatannya pada 2012.

    Hasil dari usaha itu hampir 1.2 juta orang dihukum pada akhir tahun 2016, menurut seorang pegawai kanan baru-baru ini. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda