Friday, November 22, 2024
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: Saham Adani Group menjunam

    NEW DELHI, 21 NOV – Saham syarikat Adani Group di India menjunam hari ini selepas pengerusi jutawan mereka, Gautam Adani didakwa di Amerika Syarikat (AS) berhubung skim yang didakwa membayar rasuah ratusan juta dolar.

    Pihak pendakwaan di New York mendakwa lebih AS$250 juta rasuah telah dijanjikan kepada pegawai kerajaan India antara 2020 dan 2024 untuk mendapatkan kontrak tenaga solar, yang diunjurkan menjana keuntungan lebih AS$2 bilion dalam tempoh 20 tahun.

    Selain Adani, 62 tahun, tujuh defendan lain, termasuk anak saudara Adani, Sagar Adani dan bekas ketua eksekutif Adani Green Energy, Vneet Jaain, dinamakan dalam dakwaan itu, yang menyatakan bahawa syarikat itu mengumpul lebih AS$3 bilion dalam bentuk pinjaman dan bon berdasarkan kenyataan palsu dan mengelirukan di AS.

    “Seperti yang didakwa, defendan mengatur skim terperinci untuk merasuah pegawai kerajaan India untuk mendapatkan kontrak bernilai berbilion dolar dan Gautam S Adani, Sagar R Adani dan Vneet S Jaain berbohong tentang skim rasuah ketika mereka berusaha untuk mengumpul modal daripada pelabur AS dan antarabangsa,” kata Breon Peace, pendakwa AS untuk Daerah Timur New York.

    Lima defendan lain – Cyril Cabanes, Saurabh Agarwal, Deepak Malhotra dan Rupesh Agarwal, bersekongkol untuk menghalang siasatan juri besar, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) ke atas skim rasuah itu.

    Adani yang berpangkalan di Gujarat, antara hartawan terkaya di dunia, telah menyaksikan kekayaannya berkembang pesat sejak sedekad yang lalu.

    Konglomerat Adani menjalankan pelbagai perniagaan infrastruktur dan komoditi, termasuk pelabuhan, lapangan terbang, penjanaan kuasa dan penghantaran, hartanah, tenaga hijau, media, minyak makan dan simen.

    Saham Adani menjunam mengakibatkan kehilangan nilai lebih AS$30 bilion dalam nilai kumpulan itu hari ini.

    Syarikat utama kumpulan itu, Adani Enterprises Limited, jatuh lebih 18 peratus, Adani Green Energy susut hampir 17 peratus dan Adani Port and Special Economic Zone turun hampir 12 peratus. – Bernama

    Aktivis Kesatuan Pelajar Kebangsaan India (NSUI) memegang pelekat sambil melaungkan slogan semasa protes menuntut penangkapan tokoh korporat India, Gautam Adani, atas dakwaan rasuah oleh pendakwa AS, di New Delhi kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda