Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasuah: Sebutan lanjut kes penjawat awam 4 Sept

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Ketua Bahagian Pengurusan Bil di Jabatan Perkhidmatan Air (JPA), Tan Kok Din, telah didakwa hari ini di mahkamah di hadapan Majistret Harnita Zelda Skinner, atas enam pertuduhan salah laku dalam jawatan kerajaan di bawah Bab 12B dari Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131.

    Pertuduhan rasuah adalah berkaitan dengan tindakan yang dilakukan oleh tertuduh semasa dia memegang jawatan Ketua Bahagian Pengurusan Bil di JPA antara tahun 2015 hingga 2022, yang mana dia bertanggungjawab bagi mengesyorkan syarikat-syarikat kepada Jawatankuasa Sebut Harga di JPA supaya dianugerahkan projek JPA.

    Siasatan mendedahkan bahawa tertuduh telah berulang kali gagal mengisytiharkan kepentingan peribadinya dalam beberapa syarikat yang telah mengambil bahagian untuk mendapatkan projek tender JPA.

    Selain itu, tertuduh juga didapati telah menerima faedah dari segi kewangan berikutan penganugerahan projek tender JPA kepada syarikat-syarikat berkenaan.

    Dalam tempoh tersebut, syarikat-syarikat tersebut telah memperoleh kontrak JPA yang bernilai puluhan ribu ringgit.

    Sementara itu, pertuduhan pembersihan wang haram berbangkit daripada dana yang diperoleh melalui skim yang menyalahi undang-undang. Siasatan mendedahkan bahawa dalam dua kejadian berasingan pada tahun 2015, tertuduh menerima deposit berjumlah $140,000 dan $60,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

    Dana tersebut dikesan berasal daripada syarikat-syarikat yang terlibat dan diketahui atau disyaki dengan munasabah oleh tertuduh sebagai hasil daripada salah lakunya.

    Setiap pertuduhan membawa hukuman denda sebanyak $30,000 dan penjara selama tujuh tahun. Dia juga menghadapi dua pertuduhan pembersihan wang haram di bawah Bab 3(1)(a) dari Perintah Mendapatkan Kembali Aset Jenayah, 2012, setiap pertuduhan boleh dikenakan hukuman denda sehingga $500,000, dihukum penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.

    Pihak pendakwa diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Dayang Siti Khalillah Hussin, Dayang Nur Ruzana Adnan dan Awang Mohammad Syafi’e Mirhan. Manakala tertuduh tidak diwakili dan dilepaskan dengan jaminan mahkamah dengan dikenakan syarat yang ketat.

    Kes itu telah ditetapkan untuk sebutan lanjut pada 4 September ini.

    Envato

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda