BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seorang pegawai wadar Jabatan Penjara dan seorang banduan warga Sri Lanka telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan rasuah.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Biro Mencegah Rasuah, Norizam bin Awang Hidup didakwa atas pertuduhan Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131).
Hasil siasatan yang dijalankan oleh BMR mendapati bahawa pada 21 Ogos 2015, Norizam dengan secara tidak jujur telah menerima wang berjumlah $295.62 sebagai dorongan atau ganjaran membenarkan Pathmanathan Jegan @ Muhammad Saifullah bin Abdullah yang merupakan seorang banduan warga Sri Lanka untuk menggunakan telefon bimbit HTC kepunyaan Norizam untuk menghubungi seseorang di luar penjara tanpa kebenaran pegawai penguasa Jabatan Penjara.
Norizam juga dihadapkan pertuduhan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) bagi kesalahan pegawai kerajaan menerima benda yang berharga berjumlah $295.62 dengan tiada balasan atau suatu balasan daripada orang yang ada perhubungan dengan kerja-kerja rasmi sebagai wadar.
Dia juga dihadapkan dengan tiga pertuduhan di bawah Bab 59 Akta Penjara (Penggal 51) kerana membawa masuk barangan tegahan ke dalam penjara iaitu telefon bimbit kemudian memberikan dan membenarkan Pathmanathan Jegan menggunakan telefon bimbit tersebut.
Manakala itu, Pathmanathan Jegan pula berdepan pertuduhan Bab 6(b) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) kerana dengan secara tidak jujur memberikan wang berjumlah $295.62 tersebut kepada Norizam.
Dia juga telah dihadapkan di bawah Bab 109 dibaca bersama Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22) kerana telah bersubahat dengan Norizam untuk melakukan kesalahan di bawah Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).
Semasa dihadapkan ke Mahkamah, tiada pengakuan diambil daripada kedua-dua tertuduh. Majistret Azrimah binti Haji Abdul Rahman menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 28 Mac 2017.
Pendakwa Raya telah diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Anifa Rafiza binti Haji Abdul Ghani dari Jabatan Peguam Negara.