Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Seorang wadar di Jabatan Penjara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang menghadapi tuduhan rasuah telah dibebaskan hari ini, dengan ikat jamin sebanyak $10,000 atau dengan dua orang penjamin tempatan dengan syarat lain.
Asmali bin Abdullah, 37, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 6(a) Akta Pencegahan Rasuah, Penggal 131 kerana menerima suapan sebanyak dua kali berjumlah $100 pada 13 Mac dan $200 pada 26 April daripada dua orang berbeza sebagai dorongan atau ganjaran kerana membenarkan, tanpa kebenaran yang sah, dua orang banduan untuk berkomunikasi dengan orang dari luar penjara menggunakan nombor telefon bimbitnya.
Defendan juga didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan Penjara, Akta Penjara, kerana menyampaikan komunikasi tanpa kebenaran yang sah kepada banduan,
yang melanggar Peraturan 329(q), Peraturan Penjara, di bawah Akta Penjara, Bab 51.
Defendan telah menafikan pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.
Mahkamah Majistret menetapkan perbicaraan bagi kes tersebut bermula 16 Mei 2023.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dayangku Didi-Nuraza binti Pengiran Haji Abdul Latif di hadapan Pemangku Majistret Kanan Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid.