Sunday, December 22, 2024
25 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Rasulullah cahaya rahmat seluruh alam’

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Pelbagai pihak di negara ini terus menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan majlis keagamaan termasuk ceramah khas.

    Sempena sambutan itu, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya telah menganjurkan Majlis Ceramah Khas bagi 2024 di Dewan Teater, Kementerian berkenaan hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu, Pemangku Menteri Kewangan dan Ekonomi, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

    Turut hadir, Pemangku Setiausaha Tetap (Fiskal I), Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri), ketua-ketua jabatan dan bahagian, pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta jabatan-jabatan di dalamnya termasuk pegawai dan kakitangan dari Brunei Darussalam Central Bank.

    Ceramah khas bertajuk Rasulullah Rahmat Sekalian Alam telah disampaikan oleh Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar.

    Dr Haji Noralizam semasa menyampaikan ceramahnya. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina hadir bersama tetamu lain pada majlis yang diadakan di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dalam ceramah beliau antara lain menggariskan Nabi Muhammad SAW adalah cahaya yang menjadi rahmat bagi seluruh alam.

    “Allah SWT sendiri yang menegaskan melalui firman-Nya: “Kami tidak mengutus engkau (wahai Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam. (Surah Al-Anbiya’: 107).

    Alam bermaksud seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Dinamakan sebagai alam kerana ia adalah alamat atau tanda kewujudan, keagungan dan kekuasaan Allah SWT, Tuhan Sekalian Alam.

    Malah, Rasulullah SAW sendiri memperihalkan mengenai diri Baginda sendiri: “Wahai manusia, sesungguhnya aku adalah rahmat yang dianugerahkan.” (hadith riwayat Al-Hakim dan At-Thabarani)

    Rahmat adalah kasih sayang dan Nabi SAW diutus semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa.

    “Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT,” jelasnya.

    Beliau dalam ceramahnya juga menjelaskan rahmat yang dibawa oleh Nabi SAW mengatasi segala pemikiran dan sempadan berpandukan wahyu dan hidayah Allah SWT, bukan mengikut hawa nafsu dan logik akal.

    “Hanya dengan wahyu dan petunjuk Allah SWT sahajalah yang akan membawa manusia kepada jalan kebenaran dan kejayaan, tegasnya.

    Tambahnya, umat Islam perlu berusaha menguatkan diri untuk patuh dan taat kepada setiap ajaran yang dibawa Baginda SAW.

    “Allah SWT juga mengingatkan supaya menerima ajaran Rasulullah SAW dengan sepenuh hati dan tidak sesekali mengabaikannya,” tambahnya.

    Selain mengongsikan dalam Surah Al-Hasyr, ayat 7 yang bermaksud: “Apa yang diberikan oleh rasul kepada kamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.”

    Terdahulu itu, majlis di serikan dengan Persembahan Dikir daripada warga kementerian berkenaan sebelum diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan doa penutup.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda