Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasulullah SAW pendidik terulung sepanjang zaman

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Ketokohan Nabi Muhammad SAW yang secara tidak langsung sebagai seorang pendidik dan pendakwah telah meninggalkan aset yang amat berharga, walaupun pada peringkat awalnya Baginda seorang ummi, namun dengan wahyu yang telah diturunkan, Baginda mampu meraih kejayaan dalam mentarbiahkan umatnya ke arah kecemerlangan insan yang sebenar.

    Itu adalah antara isi kandungan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Unit Dakwah Daerah Temburong, dari Mushalla Al-Ameen, Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Dayang Nurul ‘Ain binti Mohd Redzuan @Jasmona Anak Janteang, dengan tajuk Rasulullah SAW Pendidik Terulung Sepanjang Zaman sempena Program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) kali ke-147, khas untuk wanita ke-16.

    Program Malam Munajat kali ini mengundang Timbalan Pengerusi Bersama Badan Sukarelawan Belia Daie naungan Urus Setia Program Keagamaan Belia, Dayang Siti Nur Rafhanah binti Awang Masri, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Mushalla Al-Ameen, PDI.

    Program diteruskan dengan bacaan Surah Ar-Rahman beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Serusop, Dayang Norliza binti Abdul Jalil, selaku ahli Kumpulan Wardatul Jannah, Program Keagamaan Belia, KHEU dari Surau Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (SPABSB).

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), dari Surau KUPU SB, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan.

    Program Malam Munajat yang berlangsung secara dalam talian. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Bacaan Zikir Maghfirah Warrahmah juga dibacakan secara beramai-ramai dipimpin oleh penuntut Pra-U Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah, Dayang Nurhaneyah binti Nordin, yang juga ahli Kumpulan Wardatul Jannah dari Surau SPABSB.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Tenaga Pembimbing Masjid Kampung Sungai Hanching, Dr Zati Hanani binti Dato Seri Setia Haji Rajid.

    Turut sama mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah ahli Badan Sukarelawan Belia Daie naungan Urus Setia Program Keagamaan Belia; ahli Kumpulan Wardatul Jannah; Muslimah dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Hanching dan dari beberapa buah masjid di negara ini.

    Warga kerja wanita KHEU dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dan individu juga turut serta secara maya dari kediaman masing-masing.

    Malam Munajat anjuran KHEU mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, memohon keampunan daripada Allah SWT dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat daripada segala bala bencana dan penyakit berbahaya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda