Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Rasulullah tauladan terbaik

    Oleh Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jan – Persatuan Basmi Dadah Brunei Darussalam (BASMIDA), hari ini, mengadakan Majlis Maulidur Rasul yang berlangsung di rumah Yang Di-Pertua Persatuan BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali, Jerudong, di sini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada petang itu ialah Yang Amat Mulia Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin bin Pengiran Haji Abbas.

    Dalam ucapannya di majlis itu, Datin Hajah Masni menjelaskan tema Sambutan Maulud Nabi S.A.W iaitu ‘Rasulullah Qudwah Pemimpin Adil’.

    “Pentingnya Rasulullah dijadikan contoh suri tauladan atau Qudwah dalam apa jua segi termasuk dari segi kepimpinan Baginda bagi kitani yang mengharapkan keredaan Allah. Apatah lagi cara-cara kepimpinan Baginda yang sangat adil,” ujarnya.

    Beliau seterusnya menjelaskan, kerana berkelakuan adil itu membentuk pemikiran, sikap positif, tingkah laku yang akan memenuhi tuntutan keduniaan dan akhirat secara bersepadu yang akhirnya akan membawa kesejahteraan dan kebaikan kepada yang dipimpin.

    Majlis berdikir memulakan acara sambutan tersebut.
    Datin Hajah Masni ketika menyampaikan ucapan di Majlis Maulidur Rasul.
    Antara yang hadir
    di majlis tersebut.

    Menurutnya lagi, tauladan dan contoh baik yang akan dapat diambil daripada diri Rasulullah amatlah menyeluruh, antaranya pada kekuatan akidah dan pendirian Baginda, pada perkara-perkara ibadat Baginda, kezuhudan, kerendahan diri, tawaduk dan urusan mentadbir serta memimpin hal ehwal umat Islam di zaman Baginda.

    Beliau seterusnya menjelaskan dalam mengungkayahkan majlis-majlis ilmu seperti ini, ahli-ahli Jawatankuasa BASMIDA perlu bersikap sederhana dan mengamalkan sikap berjimat-cermat.

    “Saya percaya penglibatan kitani telah menyokong acara hari-hari kebesaran Islam yang diraikan oleh umat Islam di Negara Brunei Darussalam yang bertujuan untuk menanamkan lebih dalam lagi rasa kasih dan cinta terhadap Rasulullah SAW. Selain itu ia memberi peluang memohon ganjaran teristimewa untuk syafaat dalam berselawat dan dalam pembentukan jati diri kitani,” ujarnya lagi.

    Sementara itu, Naib Yang Di-Pertua BASMIDA, Hajah Linda Aini binti Abdullah selaku pengerusi majlis pula menyatakan harapan agar majlis seperti itu akan dapat dilaksanakan secara berterusan pada setiap tahun.

    Majlis juga diserikan lagi dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah, Dr. Andus Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah yang antara lain menyentuh mengenai sejarah dan tauladan Rasulullah S.A.W.

    Persembahan Dikir Maulud oleh kumpulan lelaki dan wanita BASMIDA juga mengisikan acara tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda