Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh DBP
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Dua beradik dari Sekolah Rendah Datu Ratna Haji Mohd Jaafar, Kiarong masing-masing diumumkan sebagai johan dan naib johan Peraduan Mari Bercerita Peringkat Daerah Brunei dan Muara 2017, hari ini.
Dayang Siti Khadijah binti Mohd Asnawi yang menyampaikan cerita Ratapan Anak Tiri membawa tuah kepada beliau apabila berjaya mengatasi sembilan peserta yang lain dalam peraduan tersebut.
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai $500, plak dan sijil penyertaan dengan hadiah disampaikan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis yang juga Penghulu Mukim Kota Batu.
Sementara naib johan dimenangi oleh Dayang Siti Maisarah binti Mohammad Asnawi dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Dayangku Amirah Syahirunnisa’ binti Pengiran Haji Yahya yang merupakan pelajar dari Sekolah St Andrew.
Naib johan dan tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai $400 dan $300 berserta plak dan sijil penyertaan.
Pada majlis itu, Pemangku Ketua Bahagian Perpustakaan, Dayang Emi Suryaney binti Haji Hipny menjelaskan, sepanjang tempoh 34 tahun peraduan ini diadakan, pelbagai pembaharuan dan perubahan dibuat bagi menyesuaikannya dengan peredaran masa dan kemajuan teknologi maklumat pada masa ini.


Menurut Dayang Emi Suryaney lagi, para peserta pada masa ini boleh meningkatkan daya kreativiti mereka dalam menyampaikan sebuah cerita kepada khalayak ramai seperti berinteraksi dengan penonton, menggabungkan kemajuan teknologi penggunaan video dan sistem bunyi dalam penceritaan.
“Ini akan menjadikan cerita tersebut disampaikan dengan lebih menarik dan memberi kesan kepada penonton,” jelas beliau.
Peraduan ini diadakan sebagai salah satu strategi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk mempromosi budaya membaca khususnya dalam kalangan kanak-kanak di negara ini pada peringkat usia muda.
Selain itu, ia juga dihasratkan untuk menggalakkan kanak-kanak mengunjungi perpustakaan sambil belajar, berinteraksi, berhibur dan melakukan kegiatan yang bermanfaat untuk pendidikan mereka.
Katanya lagi, dengan peraduan ini peserta dapat menambahkan perbendaharaan kata sekali gus meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu agar proses pemahaman cerita menjadi lebih berkesan.
Peraduan ini dibukakan kepada kanak-kanak ahli Perkhidmatan DBP berusia dari lapan hingga 11 tahun, di mana 10 daripada 46 peserta akan dipilih untuk bersaing ke peringkat daerah.