MANCHESTER, UNITED KINGDOM, 6 JULAI – Jutawan Britain, Jim Ratcliffe berkata, dia masih fokus untuk menyelesaikan pengambilalihan Manchester United ketika persaingan untuk membeli Red Devils masih berlanjutan.
Ratcliffe, pengasas syarikat gergasi kimia, INEOS, adalah salah satu daripada dua calon utama yang berminat untuk memiliki kelab juara Liga Inggeris 20 kali itu, bersama dengan pengurus bank Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad Al Thani.
Pemilik United sekarang, keluarga Glazer, difahamkan menetapkan harga kelab Liga Perdana itu pada £6 bilion dengan bank Amerika, Raine Group menyelia bidaan tersebut.
Glazer telah mendapat tentangan hebat daripada penyokong kerana membebani kelab itu dengan hutang dalam pengambilalihan bernilai £790 juta pada tahun 2005.
Pada mulanya, keluarga Glazer kelihatan berminat untuk menjual kelab dengan keuntungan yang besar apabila mereka membuka peluang pelaburan luar pada November lalu.
Namun, proses pengambilalihan yang berlarutan dan tiga pusingan penawaran telah mengecewakan penyokong dan menunjukkan bahawa kemungkinan pengambilalihan tidak akan selesai menjelang musim baharu.
Ratcliffe berkata, “Kami telah memberikan tawaran yang baik. Kami telah berjumpa dengan keluarga Glazer beberapa kali dan berbincang dengan baik, tetapi pada akhirnya, keputusan terletak di tangan mereka. Kami masih sangat berminat untuk membeli Manchester United dan kami yakin bahawa kami boleh menjalankan tanggungjawab dengan baik.”
Sheikh Jassim dan pasukannya telah berjanji untuk membebaskan United daripada hutang sebanyak £970 juta dan mengambil alih 100 peratus kawalan ke atas kelab itu.
Sebaliknya, Ratcliffe dilaporkan berminat untuk memperoleh sebahagian besar saham. – AFP


