Saat mahkota Miss Universe 2021 tersarung indah di kepalanya, itu petanda buat jelitawan bernama Harnaaz Sandhu itu menakluk industri Bollywood.
Bakal muncul dengan filem pertama lakonannya, Baaghi 4 di samping aktor terkenal, Tiger Shroff, nama Harnaaz sedang disebut-sebut bakal menjadi bintang besar Bollywood.
Harnaaz merupakan pemenang Miss Universe ketiga dari India selepas Sushmita Sen (1994) dan Lara Dutta (2021). Dilahirkan di Chandigar, pakej Harnaaz memenuhi kriteria heroin Bollywood.
Memetik laporan Kosmo Online, sejak merangkul gelaran Miss Universe ramai peminat tidak sabar melihat aksinya di layar lebar.
Apabila trailer dan lagu-lagu daripada filem Baaghi 4 mula dipromosikan dalam media sosial, Harnaaz menuai pujian ramai.

Malah, ada yang melabel pelakon berusia 25 itu sebagai ‘The Next Priyanka Chopra’.
Itu kerana mereka berdua merupakan bekas ratu cantik dan sama-sama berketurunan Punjabi.
Harnaaz menerusi wawancara bersama Filmfare mengakui dirinya bertuah apabila langkahnya sebagai pelakon bermula bersama produksi besar, Sajid.
Pernah dicemuh gara-gara berat badan naik selepas bergelar Miss Universe 2021, Harnaaz menjelaskan ketika itu dia berdepan masalah kesihatan.
Disebabkan perkara itu dia dikecam hebat warganet bukan sahaja di India malah seluruh dunia.
Namun, kini dia kembali langsing seperti kali pertama menyertai pertandingan ratu cantik sehingga ramai terkejut menyaksikan transformasinya.
Semuanya datang daripada hasil kerja kerasnya melakukan senaman dan diet yang tepat.
“Tiga perkara yang saya lakukan adalah meditasi, hidrasi dan memastikan diri dikelilingi tenaga positif.
“Daripada segi diet pula saya suka hidangan yang dimasak di rumah yang mengandungi tinggi protein, banyak serat dan kekacang.
“Untuk kekalkan kegembiraan dan rasa seperti manusia, saya akan ambil sesudu aiskrim,” kongsinya. – Agensi

