HANOI, 20 MEI – Pihak berkuasa Vietnam telah menahan seorang ratu cantik dan pempengaruh media sosial atas tuduhan penipuan selepas beliau mempromosikan gula-gula getah yang didakwa kaya dengan serat di platform media sosialnya, lapor akhbar Public Security Newspaper.
Polis memaklumkan kelmarin bahawa Nguyen Thuc Thuy Tien sedar bahawa kandungan serat dalam produk berkenaan adalah sangat rendah, iaitu hanya 0.935 peratus.
Tien, yang pernah memenangi pertandingan ratu cantik Miss Grand International berpusat di Thailand, merupakan tokoh terkenal dalam dunia kecantikan di Vietnam dan pernah menerima sijil penghargaan daripada Perdana Menteri.
Beliau telah mempromosikan Kera Supergreens Gummies bersama dua lagi pempengaruh media sosial terkenal, Pham Quang Linh dan Hang Du Muc.
Siasatan mendapati produk tersebut merupakan hasil usahasama antara Tien dan sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh dua pempengaruh terbabit.
Pada Disember lalu, ketiga-tiga mereka mempromosikan produk tersebut sebagai gula-gula sihat yang mengandungi khasiat bersamaan dengan sepinggan sayur-sayuran bagi setiap biji gula-gula.
Namun siasatan pihak berkuasa mendapati bahawa produk tersebut sebenarnya mengandungi 35 peratus sorbitol – sejenis pemanis tiruan yang mempunyai kesan laksatif – serta bahan tambahan lain yang tidak didedahkan.
Pihak berkuasa melaporkan bahawa lebih daripada 135,000 pek telah terjual kepada sekitar 30,000 pelanggan, dengan jumlah jualan mencecah AS$655,000.
Tien mula meraih populariti di Vietnam selepas memenangi pertandingan ratu cantik di Bangkok pada tahun 2021, dan sejak itu menerima pelbagai tawaran iklan daripada jenama terkenal. Pada bulan Mac lalu, beliau turut menjadi selebriti Vietnam pertama yang dinamakan sebagai Friend of the House oleh jenama mewah Dior. – AFP
