Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ratu Jazz’ Malaysia pukau 9,000 peminat

    Malam ‘janji temu’ yang begitu istimewa dan sarat makna antara penyanyi legenda Malaysia, Datuk Sheila Majid dan ribuan peminat setia yang menjadi saksi perjalanannya selama empat dekad dalam seni yang penuh pesona, dedikasi serta cinta mendalam terhadap muzik.

    Hampir tiga jam beraksi di pentas konsert solo berskala besar Sheila Majid 40 Years Anniversary Celebration di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Sabtu lepas, penyanyi yang digelar ‘Ratu Jazz’ Malaysia berjaya mengubat kerinduan peminat yang merindui kehangatan suara serta aura keanggunannya yang tidak pernah pudar.

    Kali terakhir Sheila mengadakan konsert berskala besar pada 2023 dan kali ini beliau kembali dengan persembahan lebih megah sebagai penghargaan buat semua yang setia bersama-samanya sejak awal perjalanan seninya.

    Tampil memukau dengan gaya elegan yang menjadi identitinya, penyanyi berusia 60 tahun itu menunaikan janjinya untuk menghadiahkan sebuah persembahan istimewa di lokasi lebih besar bersempena dengan 40 tahun dia dalam industri muzik, sekali gus menghimpunkan peminat yang kini merentas generasi, termasuklah generasi Z.

    Disaksikan 9,000 peminat yang memenuhi segenap sudut arena, Sheila membuka tirai persembahan dengan lagu hit ikoniknya yang berusia 37 tahun, Warna dengan busana merah menyala, memanaskan suasana apabila ribuan peminat bersama-sama menyanyikan bait lirik yang telah menjadi sebahagian daripada memori kolektif muzik tempatan.

    Shiela dengan busana merah menyala memanaskan lagi suasana konsert yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini. – Murai.my

    “Saya ingin berkongsi berita gembira dengan kalian semua, tiket malam ini semua habis terjual. Syukur alhamdulillah, itu saja yang dapat saya katakan. Tidak pernah terfikir yang saya dapat lakukan sesuatu yang saya suka sejak sekian lama… semua ini kerana kalian, peminat saya.

    “Terima kasih banyak atas rasa sayang, sokongan, dorongan dan kesetiaan kalian dalam tempoh 40 tahun ini. Kalian sentiasa di sisi saya dan saya amat menghargainya. Malah, ini ulang tahun ke-40 kita, awda semua dan saya…Yeah, so this is our party,” kata Shiela yang disambut tepukan gemuruh ribuan penonton.

    Malam itu hakikatnya, lebih daripada sekadar persembahan muzik apabila menonjolkan sisi berbeza penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini yang lebih santai, mesra dan penuh interaksi dengan penonton yang turut sama menyusuri empat dekad perjalanan seninya, sarat dengan cinta dan dedikasi.

    Bagaikan sebuah keluarga besar merentas peminatnya pelbagai bangsa di bawah minat yang sama, pentas itu juga menjadi medan buat Sheila untuk menyalurkan setiap bait lirik seolah helaian memoir yang hidup, menghubungkan generasi penontonnya dengan perjalanan muziknya yang sentiasa relevan.

    Bahkan kehangatan malam itu semakin istimewa dengan kemunculan anaknya, Kayda menerusi lagu Boneka, yang dilihat sebagai penyambung legasi karier pelantun lagu Sinaran itu, selain Sheila pada masa sama, turut mewarnai pentas dengan jenakanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda