STOCKHOLM, SWEDEN, 1 JAN – Permaisuri Denmark, Ratu Margrethe II mengumumkan semalam Baginda merancang untuk turun takhta selepas 52 tahun dan menyerahkan takhta kepada anaknya, Putera Mahkota Frederik.
Ratu, yang merupakan raja berperlembagaan paling lama memerintah Eropah, mengumumkan semasa ucapan Tahun Baharu bahawa Baginda akan berundur pada 14 Januari, yang merupakan ulang tahun naik takhta pada usia 31 tahun selepas kematian bapanya, Raja Frederik IX.
Margrethe, 83, berkata pembedahan belakang yang dijalaninya pada awal 2023 mendorong Baginda ‘memikirkan tentang masa depan’ dan bila menyerahkan tanggungjawab takhta kerajaan kepada anaknya.
“Saya telah memutuskan bahawa sekarang adalah masa yang sesuai,” katanya dalam ucapannya.
Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen memberi penghormatan kepadanya dalam satu kenyataan, merakamkan “ucapan terima kasih yang setulus hati kepada Duli Yang Maha Mulia Ratu atas dedikasi sepanjang hayat dan usaha tanpa jemu Baginda untuk kerajaan.”
Margrethe ialah ‘lambang Denmark’, menurut kenyataan Frederiksen dan ‘sepanjang tahun telah meluahkan kata-kata dan perasaannya tentang siapa kita sebagai rakyat dan sebagai sebuah negara.’
Margrethe dengan ketinggian 1.82 meter telah menjadi salah seorang tokoh masyarakat paling popular di Denmark, di mana peranan raja sebahagian besarnya adalah bersifat istiadat.
Baginda sering berjalan-jalan di Copenhagen tanpa pengawal peribadi dan menerima pujian warga Denmark kerana sikapnya yang mesra dan bakatnya sebagai ahli bahasa dan pereka. – AP
