Wednesday, April 23, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratu Sonja dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan

    OSLO, 22 APRIL – Istana Diraja Norway hari ini mengumumkan Ratu Sonja, 87, telah dimasukkan ke Hospital Universiti di Oslo akibat mengalami masalah pernafasan, lapor agensi berita Jerman (dpa).

    Baginda dibawa ke hospital menaiki helikopter penyelamat.

    Stesen radio NRK melaporkan bahawa Ratu Sonja tiba di hospital lewat malam kelmarin.

    Kenyataan istana memaklumkan Baginda diterbangkan dari rumah rehat diraja untuk aktiviti ski dan berburu yang terletak kira-kira 300 kilometer di barat laut Oslo. Keluarga diraja Norway lazimnya menghabiskan cuti Easter di kawasan itu.

    Ratu Sonja ialah permaisuri kepada Raja Harald V, Ketua Negara Norway. Pada Januari lalu, baginda telah menjalani prosedur pemasangan alat pacu jantung manakala Raja Harald menjalani prosedur yang sama setahun sebelumnya.

    Akhbar Verdens Gang melaporkan pada Selasa bahawa Putera Mahkota Haakon akan meneruskan lawatannya ke Poland bersama Menteri Luar Norway seperti yang dirancang, meskipun ibunda Baginda gering. Jurucakap istana mengesahkan perkara itu kepada akhbar berkenaan. – Bernama

    Gambar fail Permaisuri Sonja di Muzium Seni Moden Paris pada 29 Mac 2023. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda