Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Ratusan aktivis desak doktor hentikan mogok

    SEOUL, 4 JULAI – Ratusan aktivis hak pesakit Korea Selatan berkumpul hari ini untuk mendesak para doktor menghentikan mogok berpanjangan yang telah menjejaskan perkhidmatan kesihatan awam.

    Ribuan doktor pelatih telah berhenti bekerja sejak Februari, membantah rancangan kerajaan untuk meningkatkan kuota kemasukan sekolah perubatan yang menurut mereka akan menjejaskan kualiti pendidikan pakar.

    Mogok tersebut telah menyebabkan gangguan di hospital dan memaksa penangguhan atau pembatalan rawatan penting, termasuk kemoterapi.

    Kira-kira 300 penunjuk perasaan berkumpul di ibu negara itu hari ini untuk menyeru agar mogok itu ditamatkan dan undang-undang digubal untuk mencegah tindakan mogok pada masa akan datang.

    “Kami tidak lagi dapat menanggung kerosakan dan kebimbangan yang berterusan,” menurut kenyataan penganjur.

    “Dalam apa jua keadaan, perkhidmatan perubatan untuk pesakit tidak boleh digantung,” tambahnya.

    Kim Jeong-ae, yang mempunyai seorang anak perempuan yang sedang menghadapi kesukaran mendapatkan rawatan untuk sindrom yang jarang ditemui, berkata pesakit dijadikan ‘permainan’ oleh kakitangan perubatan.

    “Adakah awda akan melakukan ini jika pesakit adalah anak-anak awda?” katanya, dengan kepalanya dicukur sebagai tanda protes.

    Pada Mei, kerajaan memuktamadkan kenaikan kuota kemasukan sekitar 1,500 untuk sekolah perubatan bagi tahun 2025, yang dikatakan akan menangani kekurangan doktor dan populasi yang semakin tua. – AFP

    Ratusan aktivis hak pesakit Korea Selatan memegang sepanduk bertulis ‘Normalisasi perkhidmatan perubatan’ di Seoul, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...