KHAPLU, PAKISTAN, 7 JAN – Ratusan penduduk menyekat lebuh raya di kawasan utara pergunungan Pakistan hari ini, sebagai protes terhadap gangguan bekalan elektrik yang berlarutan lebih 20 jam, ketika suhu menjunam ke paras -15 darjah Celsius.
Gangguan bekalan elektrik secara rutin adalah perkara biasa di Pakistan yang mengalami kekurangan bahan api, namun penduduk kawasan bersalji di Gilgit-Baltistan mengalami gangguan yang berpanjangan.
“Kami mengalami gangguan elektrik yang sangat teruk, kami hanya dapat menikmati satu hingga dua jam elektrik sehari,” kata Baba Jan, seorang aktivis politik yang menganjurkan tunjuk perasaan itu kepada AFP.
Sejak Jumaat, sekitar 1,000 orang menyertai demonstrasi di lembah Hunza, menyekat sebahagian daripada Lebuh Raya Karakoram sepanjang 1,300 kilometer, menyebabkan puluhan trak kargo tidak dapat melintasi sempadan ke China.
Penduduk tempatan biasanya bergantung kepada kayu api untuk memanaskan badan, memandangkan penjana beroperasi menggunakan gas atau bahan api terlalu mahal.
“Orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pelancong menderita dalam cuaca yang sangat sejuk akibat ketiadaan elektrik,” kata Zahoor Ali, penganjur protes kepada AFP.
Lebuh raya itu adalah sebahagian daripada Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), yang menyaksikan pelaburan berbilion dolar oleh China, menghubungkan sempadan utara ke bandar pantai selatan Gwadar.
“Lebuh raya Karakoram di Ali Abad, Hunza, kini ditutup sepenuhnya… perniagaan antara Pakistan dan China terhenti selama beberapa hari akibat sekatan jalan raya ini,” kata peniaga tempatan, Javaid Hussain kepada AFP.
“Bagi memastikan kelancaran perniagaan antara Pakistan dan China, kerajaan perlu mengambil langkah untuk menamatkan krisis bekalan elektrik di kawasan ini.” – AFP