KUALA LUMPUR, MALAYSIA, 17 SEPT – Beratus-ratus orang mengadakan perhimpunan antikerajaan semalam di ibu negara Malaysia, menuduh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim membantu sekutu utamanya melepaskan diri daripada pendakwaan sebagai pertukaran untuk sokongan politik.
Pendakwa raya secara tidak dijangka menggugurkan 47 pertuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi pada 4 September, lewat dalam proses perbicaraannya. Mahkamah meluluskan permohonan pembebasan tetapi enggan membenarkan Zahid dibebaskan sepenuhnya, bermakna dia boleh didakwa semula.
Pembantah yang menyampaikan ucapan di hadapan orang ramai semalam di Kuala Lumpur menuduh kerajaan Anwar mencampuri kes itu untuk melepaskan Zahid sebagai balasan untuk sokongan politik.
Beberapa penunjuk perasaan dalam perhimpunan yang disokong pembangkang memakai baju putih yang tertera perkataan ‘Melawan Rasuah.’ Mereka berarak di pusat bandar sambil melaungkan, ‘Dakwa Zahid,’ ‘Reformasi sudah mati’ dan ‘Gulingkan Anwar.’
Seorang penunjuk perasaan, Muhamed Yahya berkata terdapat ‘tangan tersembunyi yang campur tangan’ mendorong pertuduhan terhadap Zahid digugurkan.
“Mereka menggunakan pintu belakang,” katanya.
Pendakwa raya berkata kes Zahid dihentikan buat sementara waktu kerana siasatan lanjut diperlukan.
Anwar berkata ia adalah keputusan bekas Peguam Negara, Idrus Harun sebelum beliau bersara dan menafikan campur tangan dalam kes itu. – AP
