JAKARTA, INDONESIA, 30 JAN – Ratusan Muslim Indonesia berarak ke Kedutaan Sweden yang dikawal ketat di ibu kota negara itu, hari ini, untuk mengecam tindakan menghina kitab suci Al-Quran baru-baru ini oleh aktivis berhaluan kanan di Sweden dan Belanda.
Mengibarkan bendera-bendera putih, lebih 300 orang penunjuk perasaan memenuhi jalan-jalan raya di pusat bandar Jakarta dan memijak serta membakar potret aktivis anti-Islam Denmark, Rasmus Paludan di samping bendera-bendera Sweden, Denmark dan Belanda.
Pihak berkuasa menyekat jalan-jalan raya menuju ke kedutaan berkenan, di mana lebih 200 anggota polis dan tentera dikerahkan di dalam dan sekeliling bangunan yang dirintangkan dengan kawat-kawat tajam.
Awal bulan ini, Paludan menerima kebenaran daripada polis untuk mengadakan satu bantahan di luar Kedutaan Turkiye di Stockholm, di mana pada 21 Januari dia membakar Al-Quran. Beberapa hari kemudian, Edwin Wagensveld, pemimpin Belanda berhaluan kanan pergerakan Pegida di Belanda, mengoyakkan beberapa halaman daripada salinan Al-Quran dekat Parlimen Belanda dan memijaknya.
Ia membangkitkan kemarahan berjuta-juta orang Muslim di seluruh dunia dan mencetuskan bantahan-bantahan, termasuk di Indonesia, negara Muslim paling padat di dunia.
Kerajaan Indonesia telah mengecam sekerasnya pembakaran Al-Quran oleh Paludan dan memanggil Duta Sweden, Marina Berg minggu lalu, kata jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Teuku Faizasyah. – AP