Wednesday, March 5, 2025
26.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ratusan dipindah akibat banjir di Jakarta

    JAKARTA, 4 MAC – Ratusan orang telah dipindahkan dari puluhan kawasan kejiranan yang ditenggelami banjir di sekitar Jakarta hari ini apabila hujan lebat melanda ibu kota Indonesia dan bandar satelitnya, menyebabkan beberapa sungai melimpah.

    Tiada laporan segera mengenai jumlah korban selepas hujan lebat terbaharu itu, tetapi beberapa kawasan bandar yang menempatkan kira-kira 11 juta orang itu lumpuh apabila seluruh kawasan kejiranan dilanda air berlumpur.

    Hujan lebat bermula kelmarin, menyebabkan beberapa kawasan di Jakarta dan bandar-bandar berdekatan seperti Bogor, Bekasi dan Tangerang terjejas oleh banjir.

    Air dilihat naik kepada paras beberapa meter di kawasan timur dan selatan Jakarta hari ini selepas hujan menyebabkan Sungai Ciliwung melimpah, menjejaskan 1,446 orang dari 224 rumah di sebuah kampung sahaja, menurut Agensi Mitigasi Bencana Nasional (BNPB).

    Di Bogor, lebih 300 orang telah dipindah, puluhan rumah rosak dan sebuah jambatan runtuh. Di Tangerang, 350 buah rumah dibanjiri selepas Sungai Cimanceuri melimpah.

    Penduduk terpaksa naik ke bumbung rumah atau menggunakan tali untuk menarik diri mereka ke tempat selamat melalui air banjir di satu kawasan di selatan Jakarta, menurut seorang wartawan AFP di lokasi kejadian.

    Pihak berkuasa berkata mereka sedang mengagihkan makanan sedia dimakan, selimut dan kanvas kepada mereka yang terjejas oleh banjir, serta menggunakan bot getah untuk memindahkan penduduk.

    “Jika terdapat kekurangan, orang ramai boleh meminta lebih banyak. Kami sedia membantu,” kata timbalan BNPB bagi tindak balas kecemasan, Lukmansyah dalam satu kenyataan. – AFP

    Penduduk Jakarta sedang dipindahkan semasa banjir teruk di daerah Jatinegara, Jakarta, kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda