ATHENS, 3 JULAI – Kebakaran hutan yang marak akibat tiupan angin kencang di selatan pulau Crete, Greece telah memaksa pemindahan ratusan penduduk tempatan dan pelancong, menurut kenyataan rasmi hari ini.
Greece ketika ini sedang dilanda gelombang haba yang turut melanda sebahagian besar Eropah selatan.
Negara itu semakin terdedah kepada ancaman kebakaran hutan pada musim panas sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang digerakkan oleh tiupan angin kuat, kemarau dan suhu tinggi akibat perubahan iklim.
Media tempatan melaporkan kira-kira 1,500 orang telah dipindahkan susulan kebakaran yang bermula pada malam kelmarin.
“Pemindahan melibatkan beberapa hotel dan para pelancong telah dipindahkan dengan selamat ke sebuah gimnasium tertutup di perbandaran Ierapetra,” kata timbalan prefek Yannis Androulakis kepada saluran TV Mega, merujuk kepada bandar percutian di tenggara pulau itu.

Beliau menjelaskan pihak berkuasa mengambil tindakan tersebut kerana pesawat membawa air tidak dapat tiba ke kawasan yang terjejas pada waktu malam.
“Pada masa ini, terdapat tiga kawasan kebakaran aktif,” kata Androulakis. “Disebabkan tiupan angin yang sangat kuat, kebakaran merebak dengan cepat.”
Seramai 270 anggota bomba, 10 helikopter dan beberapa dron telah dikerahkan untuk memadamkan kebakaran, kata jurucakap perkhidmatan bomba, Vassilios Vathrakoyannis.
Pasukan tersebut termasuk bantuan tambahan yang dihantar dari ibu negara, Athens.
“Masih terdapat beberapa kawasan berbeza yang terjejas. Api membakar belukar dan tanaman,” katanya.
“Tiupan angin sangat kuat mencapai tahap sembilan pada skala Beaufort.”
Pulau Crete, yang merupakan pulau terbesar di Greece, mempunyai bentuk muka bumi yang kering dan tidak rata serta dipenuhi parit, sekali gus menyukarkan
usaha memadam kebakaran oleh pasukan bomba.
Kebakaran itu turut memusnahkan rumah dan tanaman di rumah hijau yang menanam buah-buahan dan sayur-sayuran, menurut laporan media tempatan. – AFP