WHALEY BRIDGE, 4 OGOS – Ratusan penduduk terpaksa dipindahkan dari sebuah kawasan di tengah Britain, semalam, ketika helikopter tentera digunakan untuk menghalang sebuah empangan daripada runtuh.
Empangan Toddbrook Reservoir dikhuatiri runtuh, susulan hujan lebat sehingga mengancam nyawa dan kediaman penduduk di Whaley Bridge.
Satu bahagian saluran air empangan keluar semakin lemah, ketika dinding struktur itu mula runtuh, kelmarin.
Sebuah helikopter tentera udara menurunkan bungkusan tanah ke bahagian empangan yang rosak, semalam, sementara 150 anggota bomba dari seluruh negara bertungkus lumus mengepam air keluar dari empangan itu.
“Situasi amat kritikal,” kata ketua pegawai operasi badan amanah Canal and River Trust yang mengendalikan empangan itu, Julie Sharman. Katanya, paras air sudah surut sebanyak 20 sentimeter semalaman.
Difahamkan, kerajaan Britain sudah mengeluarkan amaran banjir teruk sehingga mengancam nyawa ke kawasan di bawah aliran empangan itu.
Perkhidmatan kecemasan bergelut untuk menangani situasi berbahaya terhadap empangan itu dengan mengurangkan paras air, apabila ribut diramalkan akan berlaku lebih kerap.
Semasa lawatan pada petang Jumaat, Perdana Menteri Boris Johnson menyifatkan tembok empangan itu sebagai ‘berbahaya tetapi stabil’, tetapi berkata struktur berusia 180 tahun itu memerlukan ‘penstrukturan semula.’
Seorang jurucakap polis memberitahu AFP bahawa pam tambahan telah diletakkan kelmarin apabila para pegawai bergelut untuk mengalirkan air ke dalam takungan. – AFP
