ESCUINTLA, GUATEMALA, 6 JUN – Pihak berkuasa Guatemala kelmarin memaklumkan bahawa lebih 500 orang telah dipindahkan selepas gunung berapi paling aktif di Amerika Tengah mengeluarkan gas dan abu.
Penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan daripada komuniti berhampiran Gunung Berapi Fuego, yang terletak 35 kilometer dari ibu negara Guatemala City.
“Kami lebih rela pergi daripada menangisi kematian seluruh kampung nanti,” kata Celsa Perez, 25 tahun, kepada AFP.
Kerajaan telah menggantung aktiviti persekolahan tempatan dan menutup sebatang jalan yang menghubungkan selatan negara itu ke bandar kolonial Antigua, sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO, menurut agensi penyelarasan bencana Conred.
Terdapat beberapa pemindahan besar-besaran seperti ini dalam beberapa tahun kebelakangan kerana letusan Gunung Fuego, termasuk pada Mac tahun ini.
Pada tahun 2018, seramai 215 orang terbunuh dan jumlah yang hampir sama dilaporkan hilang apabila aliran lava mengalir menuruni cerun gunung itu dan memusnahkan sebuah kampung. – AFP
