ISLAMABAD, 24 MEI – Polis Pakistan menahan ratusan penyokong bekas perdana menteri yang disingkirkan, Imran Khan semalaman, menjelang perarakan yang dirancang oleh bekas pemimpin itu, menurut ahli kanan parti dan sumber polis hari ini, ketika kerajaan berjanji untuk menghalang bantahan.
Khan disingkirkan daripada berkuasa bulan lalu dalam undian tidak yakin, tetapi sejak itu mendesak kerajaan gabungan baharu dengan mengadakan perarakan besar-besaran di seluruh negara.
Mendakwa bahawa dia diusir melalui ‘konspirasi luar’, Khan pada Rabu merancang untuk mengetuai puluhan ribu penyokongnya dalam perarakan di bandar barat laut Peshawar hingga ke Islamabad menuntut pilihan raya baharu diadakan.
“Esok, saya akan memimpin perarakan terbesar dalam sejarah Pakistan. Saya tidak menganggapnya sebagai politik tetapi jihad,” kata Khan.
Langkah keselamatan ditingkatkan di seluruh negara, dengan sekatan jalan raya diadakan di Islamabad dan bangunan kerajaan diarah untuk ditutup, sementara kebanyakan laluan keluar dan masuk di seluruh bandar Lahore turut ditutup.
“Bantahan ini diadakan untuk memecahkan negara dan menyebabkan kekecohan,” kata Menteri Dalam Negeri, Rana Sanaullah kepada wartawan. “Tiada sesiapa yang dibenarkan untuk mengepung ibu kota dan mengenakan arahan.
“Perarakan ini tidak dibenarkan untuk diadakan,” kata Menteri Maklumat, Marriyum Auragzeb. – AFP
